Logo

Palestin zahir penghargaan, sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia

TURKI, 19 Jun - Menteri Luar Palestin, Dr. Riad Malki menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kepimpinan serta sokongan kerajaan Malaysia kepada Palestin sejak sekian lama.

Perkara itu disampaikannya dalam pertemuan dengan rakan sejawatan dari Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Turki.

Kenyataan Kementerian Luar menyebut Dr. Riad turut memuji pendirian Malaysia yang tidak pernah berbelah bahagi dan menyatakan Palestin sentiasa boleh bergantung harap pada sokongan Malaysia.

Pertemuan ini sebahagian daripada lawatan kerja Datuk Seri Hishammuddin ke Turki, bermula semalam.

Semasa berada di Turki, Datuk Seri Hishammuddin dijangka menghadiri Forum Diplomasi Antalya.

Dr.Riad turut berkongsi perkembangan terkini di Palestin yang ketika ini masih terpaksa berdepan serangan dan kekejaman berterusan daripada rejim Israel.

Kerajaan Malaysia juga bersetuju menyumbang lebih 1 juta dolar Amerika kepada kerajaan Palestin bertujuan membantu membina semula fasiliti ujian COVID-19 di Gaza yang telah musnah akibat serangan bom bulan lalu.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.