Logo

Netanyahu tersingkir selepas 12 tahun berkuasa, Naftali Bennett Perdana Menteri Baharu Israel

TEL AVIV, 14 Jun - Setelah 12 tahun memegang kuasa, akhirnya Benjamin Netanyahu yang menjadi perdana menteri Israel paling lama memerintah akhirnya disingkirkan. 

Menerusi undi di Knesset Netanyahu menerima tamparan hebat apabila undian berpihak kepada kerajaan gabungan baharu, pemimpin pembangkang, Yair Lapid bersama Naftali Bennett yang akan mengambil alih jawatan Netanyahu hanya dengan majoriti tipis 60-59 daripada 120 kerusi Knesset.

Kesepakatan gabungan lapan parti termasuk Parti Arab buat pertama kali ternyata tentangan besar yang tidak mampu ditangani Netanyahu.

Di bawah perjanjian penggiliran dipersetujui Bennett, 49 tahun yang merupakan bekas sekutu Netanyahu, yang memimpin Parti Yamina akan memegang jawatan sebagai perdana menteri selama dua tahun.

Bennett, jutawan teknologi yang juga bekas komander pasukan khas, mengangkat sumpah semalam.

Penggiliran itu kemudian akan diambil alih oleh Lapid untuk penggal seterusnya.

Bennett yang pernah menjadi Menteri Pertahanan berjanji kerajaan gabungan di bawah pimpinannya akan mewakili seluruh penduduk Israel selain mengekalkan beberapa dasar kontroversi kepimpinan terdahulu termasuk pendirian terhadap tuntutan Palestin.

Bennett, juga berjanji menjaga keselamatan Israel dari Iran, tanpa membiarkan Iran memiliki senjata nuklear.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden merupakan pemimpin awal yang cepat mengucapkan tahniah kepada Bennett, sambil berharap dapat memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

Pada sidang sama, Knesset turut melantik Speaker baharu, Mickey Levy daripada Parti Yesh Atid yang dipimpin Lapid untuk menggantikan Yariv Levin daripada Likud selepas beliau meraih 67 undi sokongan.

Sementara itu, kejatuhan Netanyahu diraikan oleh penduduk Tel Aviv dan penyokong pembangkang di Dataran Rabin.

Kejatuhan Netanyahu ini memburukkan lagi kedudukannya yang berdepan tuduhan rasuah dan masih dalam perbicaran.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.