Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Tragedi MH17: Mahkamah Belanda mula dengar bukti terhadap empat suspek

  • Published in Berita Dunia

BELANDA, 8 Jun - Perbicaraan pesawat MH17.

Hakim Belanda akan mula mendengar bukti terhadap tiga suspek warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine yang dituduh menembak jatuh pesawat milik Malaysia Airlines di ruang udara Ukraine pada 2014.

Ketika ini perbicaraan yang bermula sejak Mac 2020 masih di peringkat hujahan perundangan, mengenai penerimaan bukti berkaitan nahas yang mengorbankan 298 penumpang dan kru penerbangan.

Perbicaraan melibatkan empat suspek itu iaitu warga Rusia Oleg Pulatov, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky, serta warga Ukraine Leonid Kharchenko dengan semuanya dibicarakan tanpa kehadiran mereka.

Daripada empat suspek, hanya Pulatov diwakili peguam.

Menurut mahkamah, pendengaran terhadap merit bermula dengan topik umum termasuk siasatan oleh hakim pemeriksa, disusuli perbincangan selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis.

Pihak pendakwaan dan pembelaan pula diberi peluang untuk membangkitkan isu ketika perbincangan berlangsung sehingga 9 Julai.

Waris mangsa akan turut memberi keterangan di mahkamah pada September depan.

Jet Boeing 777 milik penerbangan Malaysia itu sedang dalam penerbangan dari lapangan terbang Schiphol di Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine, wilayah yang dikawal pemberontak pro-Rusia.