Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Semakin ramai bangkit suarakan kezaliman rejim Israel ke atas penduduk Palestin

  • Published in Berita Dunia

ANKARA, 15 Mei - Sebelum ini, Presiden Turki, Recep Toyyip Erdogan lantang menyuarakan pandangan agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) segera bertindak.

Erdogan turut mendesak Presiden Rusia, Vladimir Putin agar memberi 'pengajaran dan peringatan tegas' kepada rejim Israel.

Tuntutan itu diikuti demonstrasi dilakukan rakyatnya di Ankara, Turki.

Beratus penduduk melakukan demonstrasi menentang kezaliman rejim Israel ke atas penduduk Palestin.

Mereka percaya serangan terbaharu Zionis Israel ke atas Gaza sejak minggu terakhir Ramadan lepas adalah yang terburuk sejak tujuh tahun lalu.

Di Sydney, Australia, ribuan rakyatnya mengangkat sepanduk sokongan terhadap Palestin.

Mereka mengutuk serangan Israel terhadap orang awam Palestin sehingga menyebabkan ratusan terkorban termasuk kanak-kanak dan wanita.

Malah ratusan ribu rakyat Palestin terpaksa menjadi pelarian sejak zionis mula merampas tanah mereka berpuluh tahun lalu.

Tidak ketinggalan, penyokong parti politik Jamaat-e-Islami di Pakistan memprotes siri serangan Zionis ke atas Gaza.

Mereka menyatakan, ia merupakan kekejaman paling teruk yang menyebabkan pertembungan orang awam Palestin yang mempertahankan Masjid Al-Aqsa dengan tentera rejim Israel.