Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Angka korban serangan ganas rejim Zionis di Gaza terus meningkat

  • Published in Berita Dunia

GAZA, 15 Mei - Angka korban insiden serangan ganas rejim Zionis di Gaza terus meningkat.

Siri bedilan bom tentera Israel yang menyasar bangunan kediaman menyaksikan kira-kira 140 penduduk awam Palestin terbunuh termasuk 39 kanak-kanak dan 23 wanita.

Manakala hampir 1,000 yang lain dilaporkan cedera.

Dan angka itu dijangka terus meningkat selepas beberapa siri serangan udara rejim Israel menyasarkan kem pelarian Al-Shati di Gaza yang menempatkan kira-kira 85,000 pelarian Palestin.

Terbaharu, awal pagi tadi, pesawat Israel melakukan serangan udara di Gaza.

Sumber Pegawai Perubatan Palestin memberitahu, sekurang-kurangnya empat terbunuh dalam serangan udara di utara Gaza itu.

Tidak cukup dengan itu, kapal tentera laut Israel turut melepaskan tembakan daripada Laut Mediteranean namun tidak mengenai sasaran di Gaza.

Pejuang Hamas bertindak balas dengan melancarkan roket ke Israel dalam pertempuran memasuki malam kelima.

Kementerian Hal Ehwal Agama Palestin berkata, pesawat Israel menghancurkan sebuah masjid manakala jurucakap tentera Zionis memaklumkan akan menyiasat dakwaan itu.

Tiada tanda akan berakhirnya pertempuran dengan korban jiwa semakin meningkat di mana penduduk Palestin melaporkan 11 terbunuh di Tebing Barat dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan Israel.

Sementara itu Hamas berkata, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki antara empat yang terbunuh dalam serangan udara Israel yang terkena rumah milik keluarga Abu Hattab di kem pelarian Pantai Gaza City.

Tentera Israel tidak memberikan sebarang komen terhadap kenyataan itu.

Setakat ini, sembilan rakyat Israel terbunuh dan lapan daripada mereka maut dalam serangan roket termasuk seorang tentera mati selepas jip dinaikinya meletup ditembak peluru antikereta kebal.