Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Insiden tembakan di sekolah Rusia, remaja 19 tahun didakwa

  • Published in Berita Dunia

RUSIA, 14 Mei - Perkembangan insiden tembakan di sebuah sekolah di Rusia.

Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun didakwa atas beberapa tuduhan membunuh susulan tindakannya melepaskan tembakan di sekolah 1-7-5 di Kazan pada Selasa lepas.

Insiden tersebut menyebabkan 9 maut, yang 7 daripadanya adalah kanak-kanak dan mencederakan ramai yang lain.

Ilnaz Galyaviev muncul di mahkamah dengan berpakaian hitam dan dilihat tenang dengan diiringi pengawal keselamatan.

Mahkamah mengarahkan Galyaviev ditahan selama dua bulan sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Menurut pihak penyiasat, remaja tersebut telah melepaskan sekurang-kurangnya 17 tembakan di sekolah berkenaan selain menggunakan bahan letupan dalam serangan itu.

Dalam satu kenyataan mengatakan, Galyaviev dikesan menghidap penyakit berkaitan otak dan pernah beberapa kali menjalani rawatan, namun dinafikan remaja berkenaan.

Kejadian tersebut merupakan yang kedua terburuk selepas tragedi 2018 apabila seorang pelajar kolej menembak mati 20 yang lain sebelum membunuh diri.

Kazan adalah ibu kota wilayah Tatarstan yang memiliki penduduk majoriti Muslim dan terletak sekitar 725 KM di timur Moscow.

Susulan tragedi itu, Kremlin kini telah mengarahkan agar syarat lebih ketat bagi pemilikan senjata api.

23 individu dilaporkan dirawat di hospital termasuk 12 kanak-kanak yang mengalami kecederaan.