Logo

New Delhi laksana perintah berkurung ekoran lonjakan kes COVID-19

NEW DELHI, 16 April - New Delhi melaksanakan perintah berkurung hujung minggu untuk memerangi COVID-19 ketika banyak negeri sudah mengumumkan pelbagai langkah sekatan baharu ekoran lonjakan jangkitan.

Kementerian Kesihatan India pada Khamis mengesahkan kebanyakan hospital awam kini sesak dengan pesakit selepas India mencatatkan 200,739 kes harian baharu dan 1,038 kematian.

Pemerintah New Delhi mengumumkan, perintah berkurung hujung minggu bagi memutuskan rantaian jangkitan dan menyekat aktiviti tidak penting.

Auditorium, restoran, pusat beli-belah, gimnasium dan spa ditutup namun pawagam dibenarkan beroperasi dengan sepertiga kapasiti berbanding hari biasa.

Banyak wilayah di India bergelut menangani lonjakan kes COVID-19, dengan petugas perubatan dan hospital bekerja dalam keadaan yang sangat sukar.

Uttar Pradesh, negeri paling padat penduduk, akan melaksanakan perintah berkurung antara 8 malam hingga 7 pagi di 10 daerah yang mencatatkan lebih 2,000 kes aktif dan menutup semua sekolah selama sebulan.

Di Rajasthan, perintah berkurung dilaksanakan bermula 6 petang hingga 5 pagi ini bersama langkah-langkah lain untuk menyekat perhimpunan awam dan aktiviti sosial.

Di beberapa tempat, jumlah korban semakin bertambah menyebabkan kekurangan tempat krematorium dan pengkebumian.

Menurut media tempatan, di bandar Surat, Gujarat struktur tempat membakar mayat hampir lebur disebabkan penggunaan berterusan. 

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.