Logo

Amaran tsunami di beberapa Kepulauan Pasifik Selatan ditarik balik

PORT VILA, 6 Mac - Amaran tsunami di beberapa kepulauan Pasifik Selatan ditarik balik sekali gus membolehkan puluhan ribu penduduk pulang ke kediaman masing-masing.

Ia berikutan risiko akibat siri gempa bumi kuat yang menggegarkan kawasan terbabit mulai reda.

Tiga gempa bumi berukuran 7.3, 7.4 dan 8.1 magnitud melanda kawasan berdekatan Kepulauan Kermadec di New Zealand.

Ia diikuti puluhan gempa susulan yang kuat dengan amaran tsunami dikeluarkan di seluruh Pasifik.

Beribu-ribu penduduk menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi apabila gelombang ombak boleh mencecah hingga tiga meter diramalkan membadai New Caledonia dan Vanuatu.

Malah, wilayah dari New Zealand hingga Peru, Russia dan Antartika turut diletakkan pada tahap berjaga-jaga yang tinggi.

Begitupun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik memaklumkan, ancaman belum berakhir sepenuhnya.

Gelombang ombak sederhana besar dilihat masih tiba di Amerika Tengah dan Selatan, namun kebanyakan amaran daripada pihak berkuasa tempatan sudah ditarik balik.

Pihak berkuasa di Australia, New Caledonia, New Zealand, Vanuatu dan Polynesia, Perancis ialah antara yang menarik balik atau menurunkan tahap amaran awal.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.