Friday, 14 May 2021

updated 2:56 PM UTC, May 14, 2021

PBB digesa kenakan embargo senjata api di Myanmar

  • Published in Berita Dunia

GENEVA, 6 Mac - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapat desakan daripada pakar hak asasi pertubuhan berkenaan agar mengenakan 'embargo senjata api global' dan sekatan bersasar terhadap tentera Myanmar.

Pelapor Khas PBB, Thomas Andrews, dalam satu laporan terbarunya turut menggesa masyarakat antarabangsa bertindak dengan segera dan tegas bagi menyokong tuntutan supaya Myanmar memperoleh kembali demokrasi.

Menurut Andrews, Majlis Keselamatan PBB juga harus merujuk keadaan di Myanmar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk siasatan.

Selain itu beliau menegaskan, PBB dan masyarakat antarabangsa perlu bertegas tidak mengiktiraf junta tentera sebagai kerajaan yang sah di Myanmar.

Pergolakan di Myanmar kian meruncing sejak tentera merampas kuasa 1 Februari lalu.

Ia mencetuskan bantahan besar-besaran dengan junta menggunakan tindakan keras untuk menanganinya.

Kelmarin, PBB memaklumkan sekurang-kurang 38 orang maut dalam satu tunjuk perasaan.

Beberapa paparan imej dalam talian pula menunjukkan anggota pasukan keselamatan Myanmar melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.

Majlis Keselamatan PBB dijadual membincangkan krisis di Myanmar hari ini, ketika tekanan antarabangsa kian meningkat susulan kemelut itu.