Saturday, 6 March 2021

updated 2:25 PM UTC, Mar 6, 2021

Amerika Syarikat perketat sekatan pelaburan di China

  • Published in Berita Dunia

AMERIKA SYARIKAT, 16 Jan - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani perintah memperketat sekatan yang bermula November lalu ke atas pelaburan negara itu dalam apa yang didakwa sebagai syarikat ketenteraan China.

Perkara tersebut diumumkan White House kelmarin, sekali gus mengekang akses syarikat China ke dalam pasaran modal AS beberapa hari sebelum Trump melepaskan jawatan.

Perintah tersebut adalah sebahagian daripada usaha terakhir Trump untuk mengekalkan legasi pendekatan kerasnya terhadap China sepanjang tempoh beliau memegang jawatan Presiden.

Ia turut dilihat memberi cengkaman kepada undang-undang 1999 yang mempertanggungjawabkan Jabatan Pertahanan untuk membuat draf senarai syarikat China yang dipercayai dimiliki atau dikawal oleh pasukan tentera republik itu.

Ini termasuk terhadap pegawai dan syarikat yang terlibat dengan pertikaian di Laut China Selatan.

Di bawah pindaan perintah itu, menjelang 11 November 2021, pelabur Amerika perlu melucutkan sepenuhnya pegangan mereka dalam syarikat-syarikat yang dikategorikan oleh Jabatan Pertahanan sebagai dimiliki atau dikawal pasukan tentera China.

Menurut sumber pegawai pentadbiran kanan Washington, perintah eksekutif tersebut akan memastikan negara itu mempunyai alat utama untuk melindungi pelabur tempatan daripada mendanai pemodenan ketenteraan China.