Saturday, 6 March 2021

updated 2:05 PM UTC, Mar 6, 2021

Kerajaan Belanda letak jawatan, skandal kebajikan kanak-kanak

  • Published in Berita Dunia

BELANDA, 16 Jan - Kerajaan Belanda dibubarkan selepas Perdana Menteri, Mark Rutte meletak jawatan selepas ribuan keluarga dikenakan tuduhan palsu terbabit penipuan kebajikan kanak-kanak.

Ahli Parlimen Belanda memutuskan ramai keluarga menderita akibat kejadian itu dengan pegawai percukaian, ahli politik, hakim dan kakitangan awam turut menyebabkan mereka tertekan.

Rutte, antara pemimpin paling lama berkhidmat di Eropah, berkuasa sejak 2010, berkata Kabinetnya akan berperanan sebagai kerajaan sementara bagi memantau pemulihan COVID-19 hingga pilihan raya pada pertengahan Mac.

Laporan media tempatan menyebut, Rutte menyerahkan peletakan jawatan Kabinet kepada rajanya.

Ribuan ibu bapa didakwa secara salah oleh pihak berkuasa Belanda kerana tidak sengaja menuntut elaun anak.

Ia menyebabkan kebanyakan mereka terpaksa membayar balik sejumlah besar wang yang akhirnya memusnahkan kewangan mereka.

Sebahagian ibu bapa menjadi sasaran penyiasatan pegawai cukai kerana mempunyai dua kewarganegaraan, juga mengundang kritikan berterusan mengenai isu perkauman di Belanda.

Menurut Ruute, kabinet bertanggungjawab bagi kejadian itu.

Keputusan ‘sebulat suara’ itu hasil mesyuarat Kabinet di The Hague ketika pandemik COVID-19 turut membelenggu negara itu.