Thursday, 24 September 2020

updated 2:00 PM UTC, Sep 24, 2020

Ribuan umat Islam Iraq tunai solat jumaat pertama selepas 6 bulan

  • Published in Berita Dunia

BAGHDAD, 12 September - Ribuan penyokong ulama Iraq, Moqtada Sadr berkumpul di masjid di timur Baghdad semalam untuk menunaikan solat Jumaat buat pertama kali sejak tercetusnya pandemik COVID-19.

Sebelum ini, masjid di Iraq ditutup untuk sebarang kegiatan sejak enam bulan lalu, namun Sadr menegaskan pihaknya akan mengadakan solat Jumaat secara terbuka di kubu kuatnya.

Di timur Bahgdad di bandar Sadr dilihat jemaah yang memakai pelitup muka dan sarung tangan diambil suhu sebelum dibenarkan memasuki perkarangan masjid utama, manakala sukarelawan menyembur cecair pembasmi kuman.

Jemaah turut diberikan peringatan supaya mematuhi penjarakan fizikal dan melindungi diri masing-masing.

Sadr minggu ini mengeluarkan senarai peraturan solat Jumaat di Twitter, termasuk jemaah dikehendaki mengekalkan jarak 75 sentimeter, manakala khutbah pula selama 15 minit saja.

Pandemik COVID-19 di Iraq kini dengan 280,000 kes positif dan lebih 7,800 kematian.

Mac lalu, pihak berkuasa Iraq menutup operasi lapangan terbang dan menguatkuasakan perintah sekatan secara keseluruhan untuk membendung penularan virus.