Logo

Semua pihak hormati keputusan tangguhkan haji dan umrah

MEKAH, 29 Jun - Pengusaha penginapan jemaah haji dan umrah serta perkhidmatan berkaitan di Arab Saudi merupakan salah satu perniagaan yang sangat terkesan dengan penularan Covid-19.

Kerugian dialami pengusaha penginapan di Mekah dan Madinah mencapai 15 hingga 20 bilion riyal bagi satu-satu musim haji dan umrah.

Manakala, kerugian penyedia perkhidmatan lain pula tidak kurang daripada 9 bilion riyal.

Menurut pemilik rangkaian hotel di Mekah, Khaled Seifddine, awal bulan Julai merupakan tempoh paling sibuk kerana menguruskan bakal haji dari seluruh dunia.

Namun, mereka menghormati keputusan kerajaan menangguhkan sementara ibadah haji tahun ini bagi mengawal penularan Covid-19.

Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan seribu orang mengerjakan haji tahun ini bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Walaupun perniagaan terhenti, pemilik hotel dan pusat penginapan jemaah haji masih perlu mengeluarkan perbelanjaan pengurusan bangunan dan pembayaran gaji pekerja yang menambah beban kewangan kepada mereka.

Turut terkesan adalah penyedia perkhidmatan sokongan seperti pengangkutan jemaah haji dan pembekal makanan di Mekah dan Madinah.

Ibadah haji dan umrah setiap tahun menjana sekitar 12 bilion riyal kepada ekonomi Mekah yang menerima tidak kurang 2 juta bakal haji dari seluruh dunia.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.