Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

Tentera Syria terus lancarkan serangan sekurang-kurangnya 6 orang awam terbunuh

  • Published in Berita Dunia

SYRIA - Tentera Syria yang dibantu pesawat tempur Russia terus melancarkan serangan terhadap penduduk awam di selatan negara itu.

Kemusnahan teruk dapat dilihat selepas serangan terbaru oleh pihak tentera ke atas wilayah di Idlib. Penduduk berusaha mencari dan mengeluarkan barangan milik mereka dari bawah runtuhan bangunan selepas serangan udara di pekan Bzabur dan Saraqib .

Sebelum ini, tentera pro-rejim melakukan serangan bom secara serentak di bandar Qamishli yang terletak di timur laut Syria.

Pasukan keselamatan menyatakan sekurang-kurangnya enam orang awam terbunuh dalam tragedi ini. Serangan udara pihak tentera ini juga menyebabkan banyak kediaman penduduk musnah.

Pasukan bantuan berusaha membawa mangsa yang terbunuh dan mereka yang cedera ke hospital berhampiran. Hingga kini, dianggarkan 400,000 penduduk tinggal di daerah yang terkepung dengan pertempuran sengit antara tentera kerajaan dengan kumpulan bersenjata.

Sepanjang tahun 2018, lebih 20,000 orang dilaporkan terkorban di Syria. Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria menyatakan, Konflik 9 tahun di Syria telah menyebabkan lebih 400,000 orang terbunuh.

Ratusan ribu lagi penduduk awam Syria yang ketakutan berusaha menyelamatkan nyawa dengan melarikan diri ke negara jiran seperti Jordan dan Turki. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, Konflik tanpa henti selama 9 tahun di Syria menyebabkan kemusnahan bernilai lebih USD400 bilion.