Logo

COVID-19: Kanak-kanak diancam kemiskinan dijangka meningkat

 

GENEVA, 28 Mei - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan lebih 86 juta kanak-kanak akan hidup dalam kemiskinan hujung tahun ini berikutan krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Menurut kajian bersama Pergerakan Save The Children dan Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF), jumlah kanak-kanak terjejas disebabkan kemiskinan di seluruh dunia adalah sebanyak 672 juta.

Menurut kedua-dua pertubuhan itu dalam satu kenyataan, statistik itu menunjukkan peningkatan 15 peratus berbanding tahun lalu.

Kajian juga mendapati, kira-kira dua pertiga daripada kanak-kanak terbabit tinggal di Afrika sub-Sahara dan Asia Selatan, berdasarkan data penduduk membabitkan sekitar 100 negara.

Ketua Pergerakan Save The Children, Inger Ashing, berkata pandemik itu akan terus meningkat terutama di Eropah dan Asia Tengah berdasarkan unjuran Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kedua-dua pertubuhan itu menggesa kerajaan terlibat, segera memperluaskan sistem keselamatan sosial dan penyediaan makanan di sekolah untuk mengehadkan kesan pandemik terus berlanjutan.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.