Monday, December 9, 2019
updated 12:40 PM UTC, Dec 9, 2019

2 maut serangan baharu Israel di Damsyik

  • Published in Berita Dunia

DAMSYIK - Serangan terbaharu Israel ke atas Damsyik, Syria meragut dua nyawa selepas peluru berpandu mengenai sebuah kediaman penduduk di Sa'sa.

Tentera Israel mendakwa, serangan dilancarkan ke atas kedudukan strategik pasukan tentera Iran di Syria melibatkan gudang senjata dan pangkalan tentera.

Israel mendakwa roket dilancarkan ke atas Bukit Golan sehari sebelum ini berpusat di Damsyik menyebabkan tindak balas segera dilakukan ke atas kumpulan bertanggungjawab.

Selepas serangan dihentikan, Israel mendakwa berjaya memusnahkan beberapa bateri peluru berpandu dan kelengkapan pertahanan udara milik tentera Iran di Syria.

Selain Syria, Iran didakwa mempunyai pangkalan tentera di Lubnan.

Iran juga dituduh membekalkan senjata kepada kumpulan pejuang Palestin di Gaza iaitu Jihad Islam yang digempur Israel baru-baru ini.

Menteri Pertahanan Israel, Naftali Bennet memberi amaran kepada pemimpin Iran supaya berhenti menyerang Israel atau berdepan tindak balas.