Logo

Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 8 Mei - Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof menerima usul Anggota Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Melalui satu kenyataan media, ia menjelaskan usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) diterima untuk dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat kelak.

Usul itu mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa "Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat".

Namun usul kedua Tun Dr Mahathir di bawah Peraturan Mesyuarat 4, iaitu mengekalkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sehingga dewan dibubarkan, ditolak Tan Sri Mohamad Ariff.

Selain 2 usul itu, Tan Sri Mohamad Ariff juga menerima usul Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong di bawah Peraturan Mesyuarat 18.

Tan Sri Mohamad Ariff menerima sebahagian daripada usul itu memandangkan perkara itu berkaitan kepentingan orang ramai, manakala sebahagian lagi ditolak dengan alasan ia tidak perlu disegerakan.

Manakala, usul Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) ditolak kerana ia tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.