Monday, December 16, 2019
updated 4:59 AM UTC, Dec 16, 2019

Pemimpin tertinggi Iran sokong keputusan naikkan harga petrol

  • Published in Berita Dunia

TEHRAN - Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menyuarakan sokongan terhadap keputusan untuk mengenakan kenaikan harga petrol dan catuan yang telah mencetuskan protes di negara itu.

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen rasmi negara itu, Khamenei menyatakan walaupun berbeza pandangan, sokongan akan diberikan, jika ketua-ketua tiga cabang telah membuat keputusan.

Sejak protes meletus di Iran pada Jumaat, seorang anggota polis terbunuh di bandar Kermanshah selepas bertempur dengan kumpulan tunjuk perasaan.

Beberapa yang lain dilaporkan cedera dan berpuluh-puluh yang lain ditahan sepanjang dua hari protes.

Protes berkenaan, dicemari dengan tindakan beberapa peserta yang memusnahkan harta benda awam, stesen minyak, termasuk cubaan membakar depoh minyak.

Iran mengenakan catuan petrol dan menaikkan harga pam sekurang-kurangnya 50 peratus dengan tujuan membantu rakyat yang memerlukan bantuan kewangan.