Sunday, May 31, 2020

updated 1:53 PM UTC, May 31, 2020

Pengusaha bengkel lukis potret pada topi keledar sebagai tanda penghargaan

  • Published in Berita Semasa

KUALA TERENGGANU, 25 April - Seorang pengusaha bengkel menggunakan kreativitinya dengan melukis menggunakan teknik 'air brush' pada topi keledar, sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang berjuang melawan COVID-19.

Karya yang dihasilkan oleh Mohd Rozamil Mohd Yatim itu kemudian tular selepas dia memuat naik hasil kerjanya di media sosial.

Antara yang dihasilkan, potret yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan petugas barisan hadapan.

Jelasnya, dalam tempoh perintah kawalan pergerakan, beliau berjaya menyiapkan karyanya dalam dua hari sahaja untuk lukisan pada satu topi keledar.

Lukisan itu turut disertakan dengan kata-kata semangat seperti 'We Stand With You', 'Stay At Home Malaysia' serta doa.

Karya Mohd Rozaimi turut mendapat perhatian Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin serta pelumba basikal dalam dan luar negara.

Sebuah syarikat pengeluar topi keledar juga berminat untuk bekerjasama dengan Mohd Rozamil untuk pengeluaran lima ribu topi keledar siap lakaran bagi tujuan amal.