Monday, May 25, 2020

updated 10:25 AM UTC, May 25, 2020

Kedah segerakan bantuan zakat berjumlah RM16.91 juta

  • Published in Nasional

 


ALOR SETAR, 24 April - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff berkenan menyegerakan bantuan zakat berjumlah RM16.91 juta sempena Ramadan.  


Bantuan diberi bagi membolehkan penerima menjalani ibadah puasa dengan sempurna dan seterusnya menyambut 1 Syawal dengan ceria, walaupun suasana Hari Raya Aidilfitri kali ini dijangka berbeza akibat Pandemik COVID-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Paduk Ammar Datuk Shaikh Mahmood Naim berkata, Sultan Kedah juga telah berkenan agar bayaran bantuan kewangan bulanan dan bantuan hari raya kepada golongan asnaf yang terdiri daripada fakir dan miskin serta bantuan kepada guru agama diawalkan.

Beliau berkata, bayaran bantuan kewangan bulanan pada bulan Mei melibatkan RM4.07 juta kepada 15,602 orang fakir dan miskin akan dianjakkan seminggu lebih awal.

Bagi 11,050 orang guru agama pula, bayaran akan dibuat pada minggu pertama Ramadan membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM4.42 juta.

Sultan Kedah dan Sultanah Kedah turut prihatin dengan anak-anak Negeri Kedah Darul Aman yang sedang menyambung pengajian di luar negara dan tidak mendapat sebarang tajaan.
 
Justeru sebanyak RM750,000 wang zakat diperuntuk untuk diagihkan secara ‘one off’ kepada mereka bermula pertengahan Ramadan.

Manakala, seramai 1,381 orang tenaga pengajar dan pelajar-pelajar pondok serta tahfiz di seluruh Kedah akan menerima agihan bekalan makanan bernilai RM82,860 pada pertengahan bulan puasa.