Tuesday, November 19, 2019
updated 4:30 AM UTC, Nov 19, 2019

11 maut protes di Chile

  • Published in Berita Dunia

SANTIAGO - Angka kematian ekoran protes besar-besaran yang kini masuk hari ketiga di Chile meningkat kepada 11 orang walaupun kerajaan melanjutkan perintah darurat bagi membendung keganasan.

Selain Santiago, 16 wilayah turut diisytihar darurat khususnya bandar utama seperti Antofagasta, Valdivia, Valparaiso, Temuco dan Punta Arenas.

Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan, Andres Chadwick berkata, 103 insiden keganasan serius berlaku di seluruh negara dan seribu 462 orang telah ditahan setakat ini.

Pasukan keselamatan akan melancarkan operasi membendung keganasan selepas perusuh membakar sebuah kilang pakaian di Renca yang membunuh 5 pekerja.

Dua wanita lagi menjadi korban apabila perusuh membakar pasaraya Walmart.

Setakat ini, lapan kes kematian dilaporkan pada Ahad manakala, 3 lagi terbunuh pada Sabtu.

Selain protes, kumpulan pencuri turut mengambil kesempatan dengan kes kecurian dilaporkan semakin meningkat.

Protes ganas melumpuhkan Santiago sepenuhnya, apabila perniagaan ditutup, kemudahan awam dibakar dan penerbangan dibatalkan menyebabkan ribuan orang terkandas dan tidak dapat bergerak bebas kerana perintah berkurung yang kini dilanjutkan.

Presiden Sebastian Pinera merayu rakyat supaya bertenang sehingga isu ekonomi khususnya kenaikan harga bahan api yang mencetuskan kemarahan rakyat ditangani sebaik mungkin.