Logo

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan bidas negara Barat

ANKARA - Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan membidas negara Barat dan menuduh blok itu menyebelahi pengganas kerana gagal menyokong operasi ketenteraan Turki terhadap kumpulan bersenjata Kurdish di utara Syria. 

Beliau turut mempersoalkan pendirian anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, NATO dan Kesatuan Eropah, EU dalam isu itu.

Dalam satu majlis di Istanbul, Presiden Erdogan secara sinis bertanyakan kepada NATO dan EU ejak bila mereka menyebelahi pengganas kerana Turki tidak maklum mengenai perkara itu.

Menurut Ankara, pasukan bersenjata YPG merupakan sayap pengganas Parti Pekerja Kurdishtan, PKK yang melancarkan pemberontakan di Turki sejak 1984.

PKK disenarai hitam sebagai pengganas oleh Ankara, Amerika Syarikat dan EU.

Operasi ketenteraan Turki ke atas pasukan bersenjata Kurdish mencetuskan kritikan antarabangsa.

Beberapa anggota NATO turut menggantung penjualan senjata ke Turki.

Presiden Erdogan menafikan rancangan Turki untuk menjajah wilayah jiran dan menyifatkan tuduhan itu sebagai memalukan.

Turki telah menggantung operasi selama 120 jam susulan perjanjian dengan Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence.

Di bawah perjanjian itu, pasukan bersenjata Kurdish perlu berundur untuk membenarkan satu zon selamat diwujudkan di sempadan Turki-Syria.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.