Tuesday, May 26, 2020

updated 12:37 PM UTC, May 26, 2020

Lelaki bakar hutan simpan ditahan

  • Published in Jenayah

SIK, 29 Mac - Seorang lelaki ditahan selepas disyaki membakar kawasan hutan simpan di Daerah Sik, Kedah.

Suspek bersama beberapa individu lain yang masih bebas dipercayai membakar hutan untuk tujuan pertanian.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Roslan Rani dalam satu kenyataan berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Hutan Simpan Bukit Enggan, Sik pada 19 Mac lalu.

Dia dipercayai mula membakar hutan berkenaan pada waktu tengah hari 19 Mac sebelum disedari anggota JPNK yang melakukan rondaan pemantauan pada waktu petang.

Anggota bomba dibantu anggota JPNK mengambil masa lima hari, untuk memadamkan kebakaran di kawasan itu.

Bagaimanapun, ketika operasi memadam dilakukan, satu lagi kebakaran dikesan di Hutan Simpan Terenas, Sik, pada 22 Mac.

Anggota bomba menghadapi kesukaran memadam kebakaran di Hutan Simpan Terenas, kerana bentuk muka buminya yang bercerun dan tiada punca air.

Ekoran itu, kaedah bom air dari udara digunakan, dan sehingga kini ia masih dilakukan.

Roslan turut memaklumkan, beberapa kawasan hutan simpan lain terbakar sebelum ini termasuk Hutan Simpan Bukit Perangin, Kubang Pasu pada 18 Mac dan Hutan Simpan Pedu, Padang Terap pada 23 Mac.

Semua kebakaran yang membabitkan kawasan seluas lebih 20 ekar berjaya dipadamkan.