Logo

Indonesia batalkan Ujian Nasional 2020 untuk semua peringkat pelajarnya

JAKARTA, 25 Mac - Indonesia membatalkan Ujian Nasional atau peperiksaan persekolahan tahun 2020 dan tidak menggalakkan orang ramai pulang ke kampung menyambut Aidilfitri pada Mei ini bagi mengekang penularan virus Covid-19.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yutianto berkata, kes positif Covid-19 di Indonesia terus mencatat peningkatan dengan kes kematian berjumlah 55.

Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Nadiem Makarim berkata, Ujian Nasional tahun 2020 untuk Sekolah Dasar (di Malaysia Ujian Penilaian Sekolah Rendah), Ujian Nasional di peringkat Sekolah Menengah Pertama (di Malaysia peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), dan Ujian Nasional Sekolah Menengah Atas (seperti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia) dibatalkan.

Perkara itu telah dipersetujui Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia.

Pembatalan ini disebabkan faktor keselamatan, kesihatan dan timbulnya risiko kesihatan akibat virus Covid-19 kerana Ujian Nasional 2020 melibatkan 8 juta pelajar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pengangkutan Darat Kementerian Pengangkutan, Budi Setyadi berkata, pemerintah Indonesia tidak menggalakkan aktiviti balik kampung untuk orang ramai pulang menyambut Aidilfitri pada Mei nanti.

Achmad Yurianto sebelum ini menyatakan dikhuatiri lebih 600,000 warga Indonesia berisiko positif virus Covid-19.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.