Wednesday, September 18, 2019
updated 1:31 PM UTC, Sep 18, 2019

Operasi padam api di 160 kebakaran hutan di timur Australia masih diteruskan

  • Published in Berita Dunia
Foto AFP

SYDNEY - Australia berusaha memadam lebih kurang 160 kebakaran hutan di bahagian timur negara itu.

Ia dilihat sebagai pemulaan kepada musim kebakaran hutan yang boleh menjadi lebih parah dalam dekad-dekad akan datang.

Kemarau dan angin kencang menyebabkan kawasan lalang di Queensland dan New South Wales menjadi kering, sekaligus mencetuskan kebakaran yang sudah merosakkan berpuluh-puluh buah bangunan dan memaksa beribu-ribu orang dipindahkan.

Cuaca Australia yang panas dan kering menjadikan kebakaran hutan sering berlaku, tetapi pakar sains berkata perubahan iklim menjadikan keadaan semakin terdedah kepada kebakaran.

Penyelidik yang disokong kerajaan sudahpun meramalkan, dalam masa enam bulan akan datang, musim bunga dan panas di hemisfera selatan berpotensi menjadi musim aktif kerana permulaan yang sangat panas dan kering pada awal tahun.

Pembantu Pesuruhjaya Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan Queensland, Brad Commens memberitahu media, musim kebakaran hutan yang berlaku lebih awal mengejutkan pihak berkuasa.

Kebanyakkan kakitangan kebiasaannya baru membuat perancangan dan penyediaan pada awal September, tetapi sebaliknya mereka dipanggil untuk melakukan usaha pemadaman.