Tuesday, February 25, 2020

updated 1:27 PM UTC, Feb 25, 2020

Kanak-kanak hilang dalam rompakan kereta ditemukan

  • Published in Nasional

MACHANG - Seorang kanak-kanak yang hilang bersama kereta Proton Exora yang dilarikan seorang suspek di Chabang Kampung Kemubu, Ketereh awal pagi tadi ditemukan di belakang Pasar Raya Ekon Jaya Kok Lanas, Kota Bharu.

Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu yang berpakaian taska, dijumpai kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Jelas Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdullah Mat Piah, suspek meninggalkan kanak-kanak itu kepada seorang peniaga gerai yang kemudiannya menghubungi polis.

Suspek dikatakan memaklumkan kepada peniaga itu yang ibunya akan datang mengambilnya nanti.

Beliau memaklumkan perkara itu pada Program Jom Ke Sekolah Peringkat Negeri Kelantan di SMK Machang.

Dalam kejadian pukul 7.45 pagi tadi, kanak-kanak berkenaan dilarikan bersama kereta yang dirompak, ketika ibu kanak-kanak terbabit memberhentikan kereta di tepi jalan tanpa mematikan enjin untuk membeli sarapan.

Belum pun sempat wanita berusia 40-an itu membeli makanan, kereta miliknya dilarikan suspek berkopiah putih dan berbaju kuning, yang terus memecut ke arah Tendong.