Monday, February 24, 2020

updated 5:14 AM UTC, Feb 24, 2020

Mahkamah dengar permohonan DS Najib untuk temubual pegawai penyiasat SPRM, pada Isnin depan

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 17 Feb - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan Isnin minggu hadapan untuk mendengar permohonan peguam Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menemubual pegawai penyiasat SPRM sebelum memberi keterangan sebagai saksi pembelaan.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagi membolehkan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan membuat hujahan mengenai isu itu.

Terdahulu, pihak pembelaan membuat permohonan lisan kepada hakim untuk mengarahkan saksi seterusnya, Penolong Pesuruhjaya SPRM, Mohd Nasharudin Amir ditemu bual oleh peguam bela sebelum memberi keterangan di mahkamah.

Ini berikutan, saksi terbabit enggan ditemu bual tetapi hanya bersetuju memberi keterangan terus dikandang saksi.

Pihak pembelaan berhujah mereka berhak menemubual saksi bagi mendapat keterangan yang relevan.

Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berhujah, seseorang saksi berhak memilih untuk tidak ditemu bual sebelum memberi keterangan dan ia adalah proses biasa.

Tan Sri Tommy turut memaklumkan, Mohd Nasharudin berada di bilik saksi dan bersedia memberi keterangan sebagai saksi ketujuh pembelaan.

Namun selepas rehat dan mendengar keterangan dan persetujuan kedua-dua belah pihak, Hakim Mohd Nazlan menangguhkan prosiding kepada minggu hadapan.