Monday, August 26, 2019
updated 4:56 AM UTC, Aug 26, 2019

Tunjuk perasaan di Hong Kong tawan terminal udara

  • Published in Berita Dunia

HONG KONG - Tunjuk perasaan besar-besaran di Hong Kong terus menjadi begitu rumit untuk diselesaikan apabila kumpulan aktivis menawan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.

Tindakan itu memaksa pihak berkuasa membatalkan semua jadual penerbangan semalam.

Lebih 5,000 penunjuk perasaan membanjiri kawasan terminal Lapangan Terbang Hong Kong.

Mereka sebenarnya telah tiga hari berkampung di terminal tersebut namun protes yang dilakukan semalam merupakan kemuncak apabila lebih 150 jadual penerbangan terpaksa dibatalkan.

Lapangan terbang Hong Kong merupakan terminal tersibuk di dunia melibatkan kehadiran lebih 200,000 penumpang setiap hari.

Sementara itu kumpulan tunjuk perasaan tersebut gagal dikawal oleh pihak berkuasa berikutan bimbang sekiranya tindakan menyembur gas pemedih mata boleh memburukkan situasi di dalam terminal yang sesak.

Mereka semakin menjadi-jadi apabila melaungkan dakyah Hong Kong tidak selamat dan mendakwa tindakan polis tidak munasabah.

Media tempatan melaporkan 45 penunjuk perasaan cedera sepanjang protes di terminal tersebut.