Friday, July 3, 2020

updated 2:24 PM UTC, Jul 3, 2020

Laporan Khas

PM lawat sekolah, SOP pencegahan COVID-19 diutamakan



KUALA LUMPUR, 24 Jun - 
Semua sekolah dibuka semula hari ini selepas lebih tiga bulan ditutup, melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang akan menduduki peperiksaan.

Wartawan RTM, Farhana Azwanee Ismail, membuat liputan di Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Datok Lokman.


Normal baharu melatari suasana, sejajar pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri meluangkan masa melawat Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Datok Lokman, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Beliau yang tiba pada pukul 9.30 pagi, diberi taklimat oleh pihak sekolah, berhubung peraturan dan prosedur keselamatan pencegahan COVID-19.

Kemudiannya beliau melawat beberapa buah kelas dan sekitar kawasan sekolah yang memiliki 255 pelajar tingkatan lima itu.

Aspek keselamatan dan kesihatan warga sekolah jelas menjadi keutamaan pihak SMK Datok Lokman, dalam mendepani pandemik COVID-19.

Perkara itu diakui Pengetua sekolah berkenaan.

"Kami ikut arahan Kementerian Pendidikan, iaitu kelas peperiksaan Tingkatan 5 sahaja yang hadir."

"Apabila semua pelajar dibenarkan kembali ke sekolah, kami merancang untuk membahagikan kelas sesi pagi untuk pelajar Tingkatan 4 dan 5."

"Bagi sesi petang peralihan sehingga Tingkatan 3. Penggiliran juga akan dibuat kerana faktor-faktor seperti bilangan kelas yang tidak mencukupi dan sebagainya."

Bagi mematuhi SOP yang ditetapkan, sembilan kelas pelajar Tingkatan 5 di SMK Datok Lokman ditambah menjadi 14 kelas.

Waktu rehat pula ditetapkan kepada tiga fasa.

Langkah-langkah berkenaan mendapat pujian Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Halim.

"Persediaan sekolah ini adalah amat baik."

"Saringan suhu dilakukan kepada pelajar yang masuk ke sekolah dan direkodkan."

"Penjarakan sosial juga dilaksanakan termasuk pergerakan ke kelas masing-masing dan susun atur meja."

"Wakil dari kelas atau guru akan mengambil makanan untuk mereka makan di dalam kelas agar penjarakan sosial terjamin."

Lawatan Perdana Menteri kira-kira selama 45 minit ke sekolah itu turut diiringi Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

SMK Datok Lokman turut membuat hebahan harian berhubung langkah kebersihan dan keselamatan, melalui siar raya setiap pagi, waktu rehat dan sebelum tamat sesi persekolahan.

Ia sejajar dengan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah yang telah diedarkan sejak 4 Jun lalu.

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan terus memantau dan membuat pemeriksaan secara berterusan bagi memastikan semua sekolah yang dibuka mematuhi garis panduan.

Pelajar Tingkatan 5 dan 6 bakal menduduki peperiksaan awam dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Malah, Kementerian Pendidikan Malaysia turut meminda Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 bagi membantu pihak sekolah untuk membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran.

  • Ditulis oleh Media Baharu
  • Kategori: Laporan Khas
  • Jumlah paparan: 219