Banci Ekonomi 2023 nilai pencapaian RMK-12
- Written by Media Baharu
- Published in Laporan Khas

KUALA LUMPUR, 14 Mac- Banci Ekonomi 2023 akan membantu syarikat bersaiz mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengembangkan saiz syarikat ke peringkat lebih tinggi.
Menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, maklumat terperinci yang diperoleh boleh mengukur prestasi perniagaan sekali gus merangka pembangunan jangka panjang.
"Melalui data yang kita ada dan kalau kita berjaya membina skala maka lebih banyak syarikat yang sekarang ini mikro dia jadi kecil, kecil jadi sederhana. Itu membuka ruang yang di bawah itu supaya yang baharu boleh masuk. Kalau tidak kita akan terus berhadapan dengan risiko tepu dalam sektor tertentu," kata Rafizi dalam sidang media Majlis Pelancaran Banci Ekonomi 2023 di ibu negara.
(Rafizi Ramli, maklumat terperinci yang diperoleh boleh mengukur prestasi perniagaan
sekali gus merangka pembangunan jangka panjang)
Katanya, maklumat keperluan para peniaga, pengetahuan teknologi dan migrasi pertumbuhan PMKS juga dapat dinilai melalui Banci Ekonomi 2023 yang dilaksanakan bermula 1 April hingga 30 September.
Melalui banci ini juga, keperluan perniagaan, pengetahuan teknologi dan keperluan dana PMKS dapat dikenal pasti.
Banci Ekonomi 2023 mengumpul maklumat bagi tahun rujukan 2022 meliputi semua pertubuhan perniagaan dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di Malaysia.
Ia meliputi semua sektor ekonomi termasuk pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan & pengkuarian dan perkhidmatan.
Dianggarkan sebanyak 1.2 juta pertubuhan akan diliputi dalam Banci Ekonomi 2023.
Bertemakan "Data Pemangkin Ekonomi Negara", Banci Ekonomi 2023 bertujuan menilai pencapaian Rancangan Malaysia Kedua Belas.
Melalui data banci ini, kesemua maklumat dan potensi pertumbuhan ekonomi semasa dapat dikenal pasti dalam dimensi yang menyeluruh. Ia juga menjadi asas pembentukan polisi semasa bagi ekonomi maju dan berdaya saing.
(Laporan Khas Delilah Kadir, Berita RTM)