Ibu tunggal sara hidup dengan jual kuih Samosa
- Written by Media Baharu
- Published in Laporan Khas

KUALA LUMPUR, 12 Mac - Bergelar ibu tunggal bukan sesuatu yang diinginkan golongan wanita, namun jika sudah takdir mereka akur kerana kehidupan perlu diteruskan.
Biarpun berdepan pelbagai kesulitan, berbekal kudrat sendiri, ibu tunggal bangkit mengubah persepsi skeptikal demi masa depan dan anak tercinta.
"Jangan merasa rendah diri dan usah malu berusaha keluar daripada kemiskinan," kata wanita cekal bernama Mahmude Mukhdar.
Semangat itu dipegang ibu tunggal tiga anak itu nekad memulakan perniagaan kecil-kecilan bagi menjana pendapatan keluarga, kira-kira 11 tahun lalu.
Mesra disapa Huda, menumpang gerai pasar malam adiknya dengan menjual kuih samosa sebelum aktif mengintai peluang lain.
"Saya fokus untuk menjual samosa dengan sasar lima buah kedai untuk dipasarkan dengan bermula 200 hingga 1000 kuih samosa.
"Apabila saya dah mula fokus untuk meniaga 2000 kuih samosa, memang ramai buat tempahan kadang-kadang saya tak menang tangan, suami saya pula tidak sihat dan sakit," katanya kepada RTM.
Biarpun dihimpit kesulitan mengurus tempahan ketika kesihatan arwah suami yang tidak menentu pada suatu masa sahulu, Huda bersyukur kuih samosanya terus mendapat sambutan yang menggalakkan.
"Daripada menggunakan kereta wira buruk, saya boleh beli kereta baru walaupun kereta terpakai saya sifatkan itu satu pencapaian," sambungnya lagi.
Kehilangan suami bukan pemutus semangat sebaliknya berkat kesungguhan, Huda mampu keluar daripada kepompong kesusahan.
Apatah lagi, menerusi bantuan pinjaman TEKUN Nasional, Huda berpeluang melipatgandakan pendapatannya.
"Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada TEKUN kerana membantu golongan seperti kami yang susah untuk dapat pinjaman dari bank.
"Dengan adanya TEKUN dan AIM memang sangat membantu kerana kemudahan yang diberikan dalam bentuk wang ringgit dan pinjaman yang dibayar mengikut jadual yang telah ditetapkan.
"Dengan bantuan ini kami dapat menjana pendapatan untuk diri sendiri dan sokong produk masing-masing," katanya.
Selain memasarkan produk sejuk beku, Huda turut meneroka peluang bidang lain dengan memanfaatkan hasil tanaman di bawah inisiatif Youth Single Mom yang diperkenal Universiti Islam Antarabangsa bersama Bank Islam.
(Ibu tunggal Mahmude Mukhdar berniaga menjual kuih samosa sejak 11 tahun lalu)