Monday, 27 March 2023

Dahulu di butik, Mira kini kendali lori kontena

  • Published in Laporan Khas

(Amira Fatihah Khairudin berpengalaman dua tahun membawa lori kontena untuk menghantar
barang dari Pelabuhan Klang ke gudang simpanan barang/FOTO Amira)

KUALA LUMPUR, 10 Mac - Ketika ramai golongan wanita lebih cenderung untuk bekerja dalam pejabat mahupun setaraf dengan taraf pendidikan tinggi mereka, namun ada yang memilih sektor kerja yang dipelopori lelaki.

Gadis muda dikenali sebagai Amira Fatihah Khairudin atau lebih mesra disapa Mira, 25, mempunyai lesen memandu kenderaan berat iaitu Lesen Vokasional (GDL) Bersendi atau Lesen Memandu Kelas E; merangkumi kenderaan seperti lori treler, lori tangki dan lori kontena.

Melihat gayanya lincah bertenaga dan tubuhnya yang kecil, tidak disangka Mira mampu mengendalikan kenderaan berat dan panjang.

Mira yang dihubungi RTM berkata dia ditugaskan untuk mengendalikan lori kontena yang membuat penghantaran barang dari Pelabuhan Klang ke Selatan, Pantai Timur dan Utara tanah air.

Meskipun ada yang skeptikal bahawa pekerjaan itu tidak sesuai untuk wanita namun anak kelahiran Selangor itu menganggap kerjayanya satu kepuasan dan keseronokan kerana mempunyai kebebasan yang tidak terikat waktu bekerja seperti sektor kerja lain.

“Saya langsung tidak mempunyai pengalaman membawa lori mahupun adik-beradik atau kawan-kawan yang membawa lori. Lebih-lebih lagi saya anak perempuan bongsu dan mempunyai seorang abang sulung. Pengalaman saya memang kosong,” katanya.

Berkongsi pengalamannya bagaimana terdetik mahu membawa kenderaan berat, Mira berkata semuanya bermula apabila zaman pandemik COVID-19, dua tahun lalu.

Mira kehilangan kerja di sebuah butik pakaian kerana tidak dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menjejaskan sumber pendapatannya.

“Sewaktu pandemik memang susah, yang hanya boleh beroperasi pada ketika itu adalah lori yang membawa barang keperluan dan makanan.

“Sebelum COVID-19 saya sudah mengambil lesen memandu kenderaan berat atas galakkan ayah saya sendiri dan syarikat pertama tempat saya bekerja dahulu memang mahukan pemandu lori wanita yang tidak memerlukan pengalaman,” kongsinya lagi.

Mempunyai pengalaman dua tahun mengendalikan kenderaan berat, Mira berkata dia pernah membawa lori kontena sepanjang 40 kaki untuk menghantar tayar kereta ke Johor Bahru dan dua kereta Proton X70 sepanjang 20 kaki dari Pelabuhan Klang ke gudang.

Mira mengakui kadang-kadang masalah kerosakan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja atas jalan raya.

“Faktor keselamatan sering diutamakan. Saya akan buat pemeriksaan asas secara berkala, seperti angin treler, tangki air supaya tidak menimbulkan sebarang masalah lebih-lebih lagi membawa barang-barang berat.

“Malah muatan lori terlalu berat juga boleh menjadi punca kemalangan hingga menyebabkan lori terbalik,” katanya lagi.

(Amira bersama rakan sekerjanya menyahut cabaran mengendalikan
kenderaan berat sebagai kerjaya mereka/FOTO Amira)

Mira pernah menjalani latihan, keselamatan, teknikal kenderaan serta mengendalikan kenderaan bagi menguji kemahirannya atas jalan raya.

Katanya, dia juga berdepan dengan situasi karenah pemandu yang tidak berhemah selain keadaan jalan berbeza semasa pemanduan.

Mira berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih lagi mahu meneruskan kerjayanya sebagai pemandu lori kontena dan berminat untuk menyambung pelajaran dalam bidang perniagaan pada suatu hari nanti.

“Saya akui kudrat seorang wanita tidak sama seperti golongan lelaki namun sebagai wanita jangan pernah meragui keupayaan diri, kena yakin, dan harus kuat semangat untuk meneruskan apa jua bidang yang diceburi.

“Selagi kita tidak mencuba sesuatu perkara baharu, kita tidak akan pernah tahu kemampuan diri,” kongsinya lagi.

Mira sering merakam aktiviti hariannya menggunakan kamera aksi ketika memandu lori dan berkongsi ke media sosial sehingga mendapat perhatian dan pujian orang ramai.

Tidak kurang juga ada pengikut mempersoal tindakannya yang dikhuatiri mengancam keselamatan dirinya dan pengguna jalan raya lain.

Bagaimanapun, rata-rata mengagumi dan seperti tidak percaya keupayaan anak muda itu mampu mengendalikan treler berat dan panjang dengan gaya bersahaja.

“Saya sentiasa beringat dan dalam keadaan berjaga-jaga kerana sayangkan nyawa dan juga memikirkan keselamatan orang lain.

“Kalau saya lalai dan melakukan kesalahan atas jalan raya, saya boleh hilang pekerjaan dan lesen akan digantung atau dibatalkan,” katanya kepada RTM.

Laporan Grace Aisyah Kedayan.