Pengguna mahu JTDL diteruskan dan diperluas
- Written by Media Baharu
- Published in Laporan Khas

KUALA TERENGGANU, 8 Februari- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus komited membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup menerusi program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL).
Penganjurannya bukan sahaja memudahkan pengguna terutama golongan B40 mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga rendah, malah meningatkan pendapatan usahawan terlibat.
Pengarah FAMA Terengganu, Nukman Hashim berkata agensi itu komited menangani isu kos sara hidup bagi melindungi kepentingan pengguna daripada ancaman kartel dan monopoli.
Pengeluaran dan pengedaran jualan komoditi utama dipastikan konsisten, cekap dan cukup.
Program JTDL di 46 lokasi yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu berjaya menjimatkan hampir RM95,000 perbelanjaan pengguna membeli enam komoditi utama termasuk sayur, buah-buahan, ayam, ikan, daging dan telur.
(Nukman berkata agensi itu komited menangani isu kos sara hidup bagi melindungi kepentingan
pengguna daripada ancaman kartel dan monopoli)
"17 lokasi dijadual diadakan JTDL bagi tempoh Januari hingga Mac ini.
FAMA juga akan mempergiat penganjuran JTDL yang melibatkan lebih 700 usahawan di Terengganu.
Sementara itu, penduduk setempat yang ditemui menyambut baik program JTDL yang mensasarkan kekerapan jualan di lokasi pinggir bandar.
Mereka menyarankan agar program itu dilaksana lebih kerap di lokasi sama.
BERITA BERKAITAN
Program JTDL dapat sambutan meriah
FAMA Perak sasar RM1 juta menerusi program JTDLKM sehingga hujung tahun ini
FAMA sasar JTDLKM capai nilai jualan RM10.5 juta
JTDLKM: Kurangkan kebergantungan pengeluar kepada orang tengah
"Saya memang selalu ke apa-apa program yang FAMA anjur sebab dapat jimatkan belanja kami sekelaurga," kata pengguna, Rohani Ismail.
"Satu langkah yang baik daripada FAMA. Dengan adanya progam macam ini dapat jimatkan suri rumah tangga. Diharapkan dapat diperluas di serata negeri," kata pesara, Che Ku Izam Che Ku Mansor.
Selain program JTDL, FAMA turut melaksanakan intervensi bagi pemasaran telur ayam untuk memastikan kecekapan pengurusan rantaian bekalan bermula Disember tahun lalu.
Inisiatif tersebut dilaksanakan bagi menjamin bekalan telur ayam yang konsisten melalui saluran peruncitan FAMA dan tersedia berpandukan harga ditetapkan.
Menerusi inisiatif itu telur ayam dibekalkan daripada pengeluar atau kilang tempatan yang sudah dikenal pasti.
Laporan wartawan Noorazilla Md Sani.
(Pengguna mahu JTDL diteruskan dan diperluas)