Tuesday, 21 March 2023

Satu lagi Pusat Rujukan Pemasaran Pertanian Berteknologi FAMA dibangunkan di Perak

  • Published in Laporan Khas

RTC GOPENG, 8 Februari- Projek Pusat Rujukan Pemasaran Pertanian Berteknologi, Institut Latihan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya membantu usahawan dan petani mendapatkan maklumat berkaitan aspek teknikal dan praktikal secara khusus dalam bidang pertanian moden.

Di Perak, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng menjadi lokasi pertama projek ini dibangunkan pada April 2021.

Dengan keluasan 0.5 hektar, ia dijadikan sebagai pusat rujukan kepada kumpulan sasar dalam kalangan usahawan dan petani bagi mendapatkan kemudahan latihan dan bimbingan secara amali.

Ini termasuk pengendalian selepas tuai, pengurusan logistik, saluran pemasangan dan analisis trend harga tanaman.

Sehingga kini sebanyak tiga pusat rujukan telah dibangunkan.

"Apa yang kita pelajari di pusat rujukan ini kita boleh kembangkan, itulah tujuan pusat rujukan itu dibangunkan, tempat orang hendak berlajar pada masa yang sama FAMA ini kita menyediakan maklumat-maklumat mengenai harga, Jadi kita buat analisis, hasil daripada pusat rujukan ini kita boleh gunakan, kita boleh pantau sama ada betul ke tidak apa yang kita analisis selama ini," kata Pengarah FAMA Perak, Noorsham Ramly.

Dengan konsep pertanian moden dan pertanian bandar, lima kaedah penanaman digunakan bagi 20 jenis tanaman sayuran dan buah-buahan sebagai tarikan pengunjung.

Melihat kepada impak positif yang diterima, satu lagi pusat rujukan akan dibangunkan menjelang Jun 2023, menjadikan empat pusat rujukan pemasaran pertanian di negeri ini.

(Satu lagi Pusat Rujukan Pemasaran Pertanian Berteknologi FAMA dibangunkan di Perak)

"Di FAMA ini kita cuba mengenal pasti tanah-tanah terbiar dan sesuai kita boleh bekerjasama dengan usahawan yang sesuai bangunkan. Jadi kalau di setiap daerah ada pusat rujukan ini, ia menjadi tumpuan daerah," tambahnya

Sementara itu bagi usahawan terlibat, pusat rujukan ini menjadi serampang dua mata dalam memasarkan hasil pertanian mereka secara terus kepada pengguna.

"Fokus utama pusat rujukan ini juga adalah memberi kesedaran atau peluang kepada usahawan atau pengguna bagaimana untuk melebarkan peluang-peluang pemasaran atau peluang-peluang menjana pendapatan. Kita juga buka kepada individu-individu yang berminat untuk menjual juga produk-produk," kata usahawan, Mohamed Jauhari Mohamed Jalil.

"Kita di sini menerima kunjungan lawatan bukan sahaja daripada pembeli-pembeli biasa tetapi daripada orang-orang persekitaran, agensi-agensi dan semua yang berminat untuk mengetahui tentang konsep tanaman yang kita bangunkan dekat sini, Usahawan, Mastura Abdul Aziz.

Petik dan timbang itu antara keistimewaan yang terdapat di pusat ujukan pemasaran pertanian berteknologi yang terletak di RTC Gopeng dan golden melon itu tadi antara 20 tanaman yang dihasilkan oleh usahawan-usahawan tani di Perak.

(Laporan disediakan wartawan Noorshahana Kamaruddin)