Lawatan rasmi PM ke Thailand jalin kerjasama strategik lebih kukuh Kuala Lumpur-Bangkok
- Written by Media Baharu
- Published in Laporan Khas

BANGKOK, 8 Februari- Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand esok dijangka meningkatkan kerjasama dalam mempromosi integrasi pembangunan ekonomi di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Khususnya melibatkan empat negeri di utara Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak serta lima wilayah selatan Thai terdiri daripada Yala, Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Satun.
Ini termasuk kesalinghubungan dalam perdagangan, pelaburan dan infrastruktur untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala berjumlah RM126 bilion menjelang 2025 menerusi mekanisme dua hala melibatkan kemudahan perdagangan dan promosi kerjasama dalam industri berpotensi seperti getah, makanan halal dan tenaga serta bidang baharu seperti ekonomi digital dan teknologi lestari.
Lawatan rasmi dua hari itu atas jemputan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha.
Ia merupakan lawatan sulung beliau ke Thailand selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November lalu.
(Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama dalam mempromosi integrasi
pembangunan ekonomi di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia)
Sebaik tiba di Bangkok, Anwar dijadual menghadiri majlis minum petang bersama diaspora Malaysia sebelum menghadiri upacara sambutan rasmi di Rumah Kerajaan dan diikuti mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatannya.
Beberapa memorandum persefahaman (MoU) turut akan dimeterai disusuli sidang media bersama.
Pada sebelah malam, Anwar dijadual menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Prayuth.
Pada Jumaat pula, Perdana Menteri akan menghadiri mesyuarat bersama pemain industri, selain membincangkan mengenai masa depan ASEAN.
Beliau akan menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Thailand, seterusnya mengadakan sesi sidang media sebelum berlepas pulang ke Malaysia.
(Laporan wartawan Farhana Azwanee ismail)