Monday, 27 March 2023

Labuan terus maju dan berdaya saing

  • Published in Laporan Khas

LABUAN, 1 Februari- Menjangkau usia 39 tahun, Wilayah Persekutuan Labuan terus maju dan berdaya saing, ke arah 'Smart And Sustainable Island City'.

Hala tuju pembangunannya dirancang mengikut keadaan semasa, selain merujuk Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030.

Sejak tahun 2015, lima fokus utama menjadi keutamaan.

Labuan mengukuhkan sektor perkhidmatan kewangan luar pesisir antarabangsa dan memantapkan hub logistik minyak dan gas.

Juga fokus pembangunan sektor pendidikan dan perkhidmatan awam; meneroka kelebihan statusnya sebagai pulau bebas cukai serta memperkasa sektor pelancongan.

"Kita melihat berteraskan komuniti, ekologi, sumberjaya dan juga aktiviti sukan pelancongan.

"Baru-baru ini kita juga telah pun diiktiraf di peringkat kebangsaan sebagai salah satu geopark di Malaysia.

"Alhamdulillah ini juga akan dapat menaikkan nama Labuan dari segi destinasi pelancongan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.

Beliau menyatakan demikian kepada RTM.

(Rithuan Mohd Ismail)

Selain merangka dan merancang strategi pembangunan, aspek kesejahteraan dan kebajikan warganya juga diambil kira, lebih-lebih lagi selepas pandemik COVID-19.

Pelbagai bantuan dan inisiatif dilaksanakan bagi membantu kelangsungan hidup terutama golongan B40, peniaga kecil dan miskin tegar.

"Kalau kita tengok Mac, kita mempunyai miskin tegar seramai 449, tetapi pada Julai iaitu dalam empat bulan itu kita telah dapat mengurangkan sehingga 344 isi rumah miskin tegar, jadi ini kita berjaya menurunkan dalam 23 peratus," tambahnya.

Menurut Rithuan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan turut ditubuhkan, berfungsi mengatur gerak kerja dan mengelak sesuatu bencana.

"Kita mempunyai jawatankuasa pengurusan bencana yang mana kita sentiasa memantau dari segi keselamatan khususnya yang mengakibatkan bencana banjir, ribut dan sebagainya.

"Jadi dari segi memastikan keselamatan dan kesejahteraan itu insya-Allah di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan itu sendiri," jelas beliau.

Dengan tema ‘Wilayah Persekutuan Untuk Semua’, Hari Wilayah tahun ini disambut secara sederhana, namun membawa semangat kecintaan dan perpaduan.

Laporan disediakan Kamarudin Abdullah.