Wednesday, 1 February 2023

 

Konsep Ta'dib, wahana kepada tranformasi sistem pendidikan negara

  • Published in Laporan Khas

KUALA LUMPUR, 23 Januari- Konsep Ta’dib diberi penekanan dalam usaha mentranformasikan sistem pendidikan negara agar selari dengan misi pembentukan masyarakat Madani.

Pendekatan Ta’dib secara umumnya, adalah proses mendidik yang memberi tumpuan kepada penyempurnaan akhlak dan perubahan perilaku ke arah yang lebih positif.

Bagaimana ia menjadi wahana perubahan yang diinginkan?

Pendekatan konsep Ta’dib dalam sistem pendidikan negara bertetapan sebagai benteng masalah sosial remaja yang berkait dengan sahsiah pelajar.

Profesor Adjung Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dato’ Dr. Abdul Rashid Mohamed berpendapat, ia seiring usaha kerajaan membangun negara dan pada masa sama menekankan pembentukan akhlak rakyat.

"Ini satu konsep yang baik dan sepatutnya ada dalam kurikulum pendidikan dari sekolah rendah sehingga ke universiti secara penerapan merentas kurikulum.


(Foto hiasan)

"Dalam dunia moden pula, negara-negara seperti Sweden, Denmark, Norway dan Switzerland cuba menerapkan konsep 'global citizenship' ini dengan membawa ciri-ciri seperti membantu keluarga dan komuniti mereka menjadi lebih baik.

"Sebuah negara yang maju bukan saja tingkatkan kekuatan dengan kekuasaan ekonomi tetapi juga dengan keluhuran sahsiah anak bangsa", katanya.

Turut senada, Pensyarah Belia, Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, Profesor Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad yang berpandangan penerapan ta’dib perlu bagi melahirkan generasi berakhlak mulia sebagai pemangkin generasi madani.

"Kalau kita lihat bagaimana anak muda pada hari ini yang memliki pengetahuan, bagaimana mereka menggarap pengetahuan itu dalam bentuk kemahiran dan akhirnya membentuk sikap mereka sebagai belia yang positif.

"Jadi saya nampak ia merupakan suatu resepi yang seimbang, bagaimana mengekalkan konsep 'ta’dib' dalam pembangunan belia.


(Pensyarah Belia, Fakulti Pengajian Pendidikan UPM,
Profesor Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad)

Bagi merealisasikannya, guru dan pendidik memainkan peranan penting agar konsep ta'dib dapat difahami seterusnya dihayati pelajar.

"Guru dan pendidik ini memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan konsep masyrakat madani dihayati kerana penghayatan dan pemahaman kepada konsep ta’dib dalam kalangan para pendidik dan guru ini dapat membentuk sahsiah pelajar dan anak muda yang berkeperibadian mulia.

"Pembinaan ilmu, kemahiran , sahsiah dan akhirnya akan menyumbang kepada pembentukan karektor masyarakar madani yang mempunyai keperibadian yang mulia", katanya

Kecanggihan infrastruktur dan ledakan teknologi canggih tidak memberi sebarang makna jika aspek akhlak dipinggirkan.

Justeru, konsep Ta'dib sangat signifikan dalam membentuk model pembangunan akhlak masyarakat khususnya dalam kalangan pelajar sebagai kelompok sasaran utama.

Laporan disediakan oleh Fatin Aqila Nor Azli, RTM.