Sunday, 2 October 2022

Kesiapsiagaan Perlis hadapi banjir

  • Published in Laporan Khas

KANGAR, 21 September- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami episod hujan lebat berterusan bermula pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar.

Fenomena La Nina yang dijangka berterusan sehingga awal tahun depan turun menyebabkan peningkatan taburan hujan di seluruh negara.

Monsun Timur Laut yang lazimnya berlaku pada bulan November setiap tahun menyebabkan tiupan angin berkelajuan antara 10 hingga 40km sejam, yang turut menyebabkan hujan lebat.

Di Perlis, walaupun bencana banjir berlaku pada skala kecil, namun pihak pengurusan bencana sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan luar jangka.

"Untuk Perlis ini kita jangkakan walaupun banjir itu tidak begitu teruk, tetapi kita dari segi tahap kesiapsiagaan ataupun persediaan di peringkat pengurusan di pusat pemindahan sementara, itu kita akan ambil perhatian yang serius," kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Ku Chik Ku Mat Esa.

Beliau menyatakan demikian kepada RTM.

(Ku Chik Ku Mat Esa)

Simulasi pengurusan bencana turut dilakukan bagi mengetahui kelemahan dan penambahbaikan yang perlu sekiranya berlakunya banjir.

Ia melibatkan agensi kerajaan dan agensi penyelamat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Angkatan Pertahanan Awam; Polis Diraja Malaysia; Jabatan Kesihatan dan Persatuan Komuniti Kebajikan Sukarelawan Negeri Perlis.

Pengerusi Persatuan Komuniti Kebajikan Sukarelawan Negeri Perlis, Mohd Effendy Harun berkata simulasi melibatkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu diberi keutamaan terutama di pusat pemindahan sementara yang akan membantu semua pihak menguruskan penduduk terlibat.

"Kami ada lebih kurang 100 orang sukarelawan, jadi sukarelawan kami ini berada di seluruh negeri Perlis.

"Jadi katalah pusat pemindahan itu buka di Padang Besar, jadi kita sudah ada beberapa orang sukarelawan yang di kawasan Padang Besar akan bergerak ke pusat pemindahan.

"Jadi di setiap pusat pemindahan itu kita ada tujuh jawatankuasa yang mengatur gerak segala keperluan di sana," katanya.

(Mohd Effendy Harun)

Kesiapsiagaan petugas yang terlibat dari segi pengetahuan dan kepakaran bukan sahaja memudahkan pemindahan penduduk terjejas, lebih penting menyelamatkan nyawa.

"Kalau daripada aspek petugas dan pegawai, kami memang buat sementara ini tidak ada kekurangan untuk menghadapi kecemasan.

"Kami ada banyak Klinik Kesihatan di Perlis yang masih kita boleh guna pakai tenaga kerja kita untuk menghadapi keadaan genting seperti banjir," jelas Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kangar, Dr Sathesh Kumar.

(Dr Sathesh Kumar)

Sebanyak 71 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dikenalpasti seluruh Perlis dengan kapasiti lebih 4,000 penduduk.

Koordinasi, komunikasi dan kesefahaman antara semua jabatan dan agensi pengurusan bencana serta orang awam perlu diutamakan dalam memastikan segalanya berjalan lancar.

Laporan disediakan Wan Noor Azley Wan Chik