Sunday, 2 October 2022

Kata-kata kita adalah cerminan diri

  • Published in Laporan Khas

JOHOR BAHRU, 21 September - Prinsip kelima Rukun Negara 'Kesopanan dan kesusilaan' merupakan nadi kepada keharmonian dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Prinsip itu semakin terhakis terutama dalam kalangan warga maya apabila bahasa yang kurang sopan dan tidak beradab semakin mendominasi hantaran-hantaran komen mahupun status di media sosial.

'Budi Bahasa, Budaya Kita' slogan yang mencerminkan keperibadian seseorang apabila berkomunikasi.

Namun, amalan itu gagal dipraktikkan secara menyeluruh di media sosial apabila ramai cenderung menggunakan bahasa tidak sopan dan tiada beradap.

Timbalan Pengarah Perpaduan Johor, Noraishah A. Jabbar berkata situasi sedemikian terus bermaharajalela di media sosial kerana ruang kebebasan bersuara tanpa
batasan, selain dipengaruhi rakan, keluarga serta persekitaran.

Isu itu wajar dipandang serius memandangkan ia boleh merosakkan minda terutama golongan muda.

"Prinsip yang kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan, dimana prinsip ini membawa makna bahawa rakyat kita ni, harus bertolak ansur, bertimbang rasa, dan berkelakuan baik.

Dengan adanya prinsip Rukun Negara kelima ini, dimana kita boleh mendorong pengguna media sosial ini, atau pun menjadikan prinsip Rukun Negara, sebagai amalan, pengetahuan dan pengamalan rukun negara itu, dalam masyarakat kita, dan juga tradisi budaya rakyat Malaysia," kata Timbalan Pengarah Perpaduan Johor, Noraishah A Jabbar di sini.

Menurutnya, berdiam diri dan berfikir sebelum bertindak langkah terbaik ketika berhadapan situasi mencabar emosi di media sosial.

Pegawai Psikologi Kanan, Pusat Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Hazirah Hashim, berkata kurangnya penguatkuasaan di media sosial menyebabkan ada individu cenderung menyuarakan pandangan sendiri secara terselindung atau `anonymous’.

"Kita perlu ingat, tujuan utama media sosial dicipta, terutama sekarang seperti facebook, sebenarnya untuk menyambungkan orang ramai contohnya, bagaimaba kita hendak menghubungkan rakyat.

Jika ayat itu menyakitkan hati banyak kajian kata ia boleh memberikan kesan kepada kesihatan mental," kata Hazirah.

(FOTO HIASAN)

Justeru, amalan berbudi bahasa perlu diamalkan oleh semua pihak dan mengambil langkah proaktif menggunakan bahasa sopan semasa memberi ulasan sesuatu isu
termasuk kepada pihak berkuasa.

"Antara faktor adalah berkaitan dengan keluarga. Sepatutnya perlu sentiasa meluangkan masa. Jika tidak anak-anak akan terasa terabai, dan daripada situasi itu mereka akan mungkin akan bergaul bebas, dan daripada itu mereka akan terdedah kepada bahasa yang tidak sesuai dan baik," kata Duta Perpaduan , Irfan Aiman Ishak.

"Bagi saya isu ini patut dipandang serius kerana dalam Rukun Negara kita sendiri, dalam prinsip Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan, merupakan antara prinsip yang kita patut taat lah, termasuk golongan kana –kanak, warga emas dan sebagainya," kata Duta Perpaduan Aidil Azli.

"Saya lihat sangat banyak, kita tahu media sosial ini dia tidak terbatas, semua orang boleh komen, semua orang boleh melontarkan idea, orang boleh buat akaun palsu untuk memberikan komen," kata Duta Perpaduan Muhammad Aliff Izzat Mistam.

"Kerana media sosial ini ibarat satu senjata,  kalau kita menggunakan dia dengan baik, kita mampu memberikan kebaikan kepada orang lain. Tetapi jika menggunakannya dengan cara salah, dengan kata-kata kesat, kita akan memberikan perspektif dan juga pengaruh yang tidak elok," kata Duta Perpaduan Muhammad Faris Shaharuddin.

Ingat, tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan dengan bersikap kurang ajar.

Budi bahasa anda, mencerminkan taraf anda,

Laporan Erwin Zaid