Sunday, 2 October 2022

"Latihan Pertolongan Kecemasan Penyelamatan di Air" tingkat kesedaran keselamatan di laut

  • Published in Laporan Khas

LABUAN, 17 September- Bagi meningkatkan kesedaran keselamatan di laut, LDA Labuan Holdings Sdn. Bhd. selaku pengendali Terminal Feri Antarabangsa Labuan, mengadakan Latihan Pertolongan Kecemasan Penyelamatan Di Air.

Ia dijayakan dengan kerjasama Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Labuan.

Selain memperkasa kefahaman dan kemahiran penyelamatan, ia dapat meningkatkan keyakinan pengguna perkhidmatan feri dan bot ekspress, khususnya di terminal feri ini.

Latihan membabitkan pegawai dan kakitangan LDA Holdings, sebagai tindakan awal kecemasan.

Menurut Pengarah Eksekutif LDA Labuan Holdings Sdn. Bhd., Mohd. Rizdun Ibrahim, keselamatan penumpang menjadi keutamaan pihaknya yang mahu menjadikan jeti terminal ini kawasan selamat dan terjamin.

" Kami ingin menjadikan terminal ini adalah terminal yang paling selamat di negara inila. kerana itu perlahan-lahan melalui fasa berfasa meningkatkan kemahiran tenaga kerja kami dalam menangan situasi-situasi kecemasan dan juga mempertingkatkan keselesaan dan juga keselamatan penumpang-penumpang yang akan menggunakan terminal ini", katanya.

Destinasi pelayaran membabitkan kira-kira 2,000 hingga 3,000 penumpang setiap hari.


(Pengarah Eksekutif LDA Labuan Holdings Sdn. Bhd. Mohd. Rizdun Ibrahim)

"LDA diamanahkan oleh Perbadanan Labuan untuk menguruskan Terminal Feri Antarabangsa Labuan dimana destinasi-destinasi kami adalah ke Menumbok Sabah, Lawas, Limbang, Brunei Darussalam dan juga ke Sipitang.

"Dari segi jumlah bot itu agak banyak dimana kami selain daripada bot-bot yang berjadual ni, kami juga menguruskan untuk feri-feri ataupun pengangkutan kru-kru kapal yang berlepas daripada sini", katanya.

Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jabatan Bomba Dan Penyelamat JBPM Labuan, Jason Bilin, latihan dan teknik penyelamatan ini penting, sebagai bantuan awal kecemasan sekiranya situasi sebenar berlaku.

"Peralatan-peralatan teknik penyelamatan di air yang digunakan, antaranya adalah pelampung keselamatan dan juga jaket keselamatan dan juga 'throw bag' untuk mereka ini respon kepada aktiviti-aktiviti ataupun kepada insiden kecemasan ini dengan lebih pantas sebelum pihak bomba sampai ke lokasi kejadian", katanya.

Seramai sembilan anggota EMRS dan Pasukan Penyelamat Di Air terlibat memberi penerangan dan latihan mengenai teknik penyelamatan di air dan penggunaan peralatan keselamatan dengan betul dan berkesan.

Amalan budaya kerja yang selamat perlu diterapkan, selain sentiasa peka terhadap persekitaran, khususnya di terminal tersebut.

Kejadian lemas seringkali berlaku bukan sahaja di laut, malah di sungai dan juga di kolam. Justeru, langkah-langkah untuk mengatasinya terus dipertingkatkan menerusi sesi ceramah dan latihan.

Paling penting ialah kesiap-siagaan anggota bomba dan penyelamat.

Laporan oleh Wartawan Kamarudin Abdullah