Wednesday, 28 September 2022

RUU Antilompat Parti, sejarah landskap politik negara

  • Published in Laporan Khas

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

KUALA LUMPUR, 19 Ogos- Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, pelaksanaan Undi 18, serta Rang Undang-undang Antilompat Parti yang diluluskan Parlimen, antara sejarah yang dilakar dalam landskap politik negara.

Ini sekali gus, membuktikan kejayaan kerajaan mendepani cabaran politik negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih tampuk pemerintahan negara ketika keadaan politik disifatkan agak tidak stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Tindakan kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik membantu meredakan suhu politik negara.

Menurut Penganalisis Politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian, MoU setebal 17 muka surat itu telah membentuk satu kerjasama dwipartisan bertujuan menstabilkan kerajaan, supaya fokus diberi kepada agenda rakyat dalam mendepani cabaran COVID-19.


(Penganalisis Politik, Prof. Dr Sivamurugan Pandian)

"Salah satu yang lebih besar yang boleh kita lihat kepimpinan beliau adalah usaha untuk menandatangani memorandum persefahaman di antara kerajaan dan barisan parti pembangkang supaya itu dapat meredakan suhu kepanasan perbezaan fahaman ideologi politik agar memberikan tumpuan ke arah proses kestabilan dan juga keadaan yang lebih menentu.

"Ini bermakna satu tahun ini kita telah melihat bagaimana proses itu cuba diguna pakai agar dapat kita melihat kepada perbezaan-perbezaan selama dua tahun yang wujud di semasa covid- 19 ditangani dan juga proses pemulihan dilakukan dengan segera dengan pelbagai pendekatan dengan keadaan yang luar biasa", katanya kepada RTM sempena 'Setahun Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Penganalisis Politik, Datuk Profesor Dr Ismail Sualman pula berpendapat, menyedari RUU Anti Lompat Parti mampu menjamin kestabilan politik, Datuk Seri Ismail Sabri menjadikan pembentangannya di Parlimen, sebagai salah satu butiran utama dalam MoU tersebut.

Pada 28 Julai 2022, RUU Anti Lompat Parti diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan.


(Penganalisis Politik, Datuk Prof. Dr Ismail Sualman)

"Satu kejayaan besar bagi saya ialah apabila beliau berjaya membawa RUU berkaitan dengan lompat parti di Parlimen hingga menyebabkan hampir 100 peratus bersetuju. Itu satu kejayaan yg menunjukkan bahawa sokongan padu terhadap beliau masih lagi cukup tinggi.

Ini juga memberikan kenangan dan juga dan keyakinan kepada rakyat dalam dan luar untuk terus melabur kedalam negara ini kerana kestabilan politik menentukan kejayaan dan juga perkembangan ekonomi negara", katanya kepada RTM.

Datuk Seri Ismail Sabri juga bersetuju agar pelaksanaan Undi 18 dilaksana bermula awal tahun 2022, sepertimana diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak, sebelum ini.

Jelasnya, Kabinet membuat keputusan untuk tidak merayu keputusan berkenaan, walaupun sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan persediaan ke arah pelaksanaannya hanya boleh dibuat menjelang September 2022.

Ruang yang diberikan melalui Undi 18 ini akan membolehkan lebih ramai golongan muda terlibat secara aktif dalam membuat keputusan berkenaan masa depan negara dan menjadi pemimpin.

Walaupun tempoh setahun bukan satu jangka panjang, namun Datuk Seri Ismail Sabri berjaya membuktikan beliau, pemimpin yang mementingkan agenda negara dan rakyat ketika berdepan pelbagai cabaran.

Laporan disediakan oleh Dian Fatiha Maknoh, RTM