Wednesday, 28 September 2022

Lawatan PM ke luar negara, perkukuh hubungan diplomatik, semarak pertumbuhan ekonomi

  • Published in Laporan Khas

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika lawatan ke Indonesia)

KUALA LUMPUR, 17 Ogos- Kerjasama dengan negara Asean menjadi antara fokus awal pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memperkukuh hubungan diplomatik.

Pada peringkat itu, usaha banyak terarah kepada pemulihan negara susulan pandemik COVID-19. Antara diberi penekanan, pemulihan ekonomi negara dan serantau.

Indonesia menjadi destinasi pertama lawatan Ismail Sabri sejak menjawat jawatan Perdana Menteri.

Keakraban kedua-dua negara menyaksikan lawatan rasmi diadakan sebanyak dua kali.

"Satu pemerkasaan konsep Keluarga Malaysia, bukan sahaja dirasai di negara ini tetapi disemarakkan di seluruh dunia.

"Tujuan untuk mengembang dan memperkasakan hubungan demokrasi, ekonomi dan perdagangan dalam kalangan negara-negara serantau Asean dan Eropah.

"Kesederhanaan Malaysia mempertaruhkan dasar luar negara, memberikan satu petunjuk Malaysia adalah rakan dagangan yang berpotensi untuk menjadi satu pusat pelaburan utama di Asean dan juga negara pilihan," kata Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, UPM, Dr Syed Agil Alsagof.

Beliau bercakap kepada RTM menjelang setahun pentadbiran Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri.

(Perdana Menteri ketika mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di
Bangunan Perdana Putra pada 29 Jun 2022/Foto Fail Bernama)

Sementara itu, hubungan sosial dan ekonomi diperkukuh menerusi pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

Singapura menjadi negara pertama inisiatif digerakkan pentadbiran beliau.

VTL kemudian diperluas ke beberapa lagi negara jiran.

Pada masa sama, pelbagai persefahaman dimeterai demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Lawatan turut dibuat Perdana Menteri ke Qatar, Emeriah Arab Bersatu, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun dan Turkiye.

Bahasa Melayu dimartabat beliau dengan menjadikannya bahasa utama ketika melawat negara asing.

"Ia boleh disifatkan sebagai keberanian Perdana Menteri kita mendaulatkan Bahasa Melayu ke persada antarabangsa," tambah Dr Syed Agil.

Lawatan Perdana Menteri ke luar negara memberi impak signifikan kepada pertumbuhan ekonomi dan hubungan sosial.

Secara tidak langsung, memperkukuh imej negara di persada antarabangsa.

Laporan Azizi Harun