Wednesday, 28 September 2022

Semarak Bulan Kebangsaan, gotong royong pasang bendera, anjur kuiz

  • Published in Laporan Khas

(Jalur Gemilang yang dipasang di sekitar Kuarters
Kakitangan Awam Jalan Shahbandar, Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 17 Ogos- Kibaran Jalur Gemilang tiap kali tiba Bulan Kebangsaan menyemarakkan lagi rasa cinta kepada negara.

Di ibu negara, tidak ketinggalan pendekatan kreatif dilakukan penduduk dengan menghiasai kawasan perumahan dengan bendera.

Aura luar biasa itu nyata dirasai sebaik melangkah masuk ke kawasan Kuarters Kakitangan Awam Jalan Shahbandar dan Flat Seri Perlis 2.

Kawasan tersebut diceriakan dengan kibaran 'Jalur Gemilang' yang dipasang secara gotong royong hasil kerjasama komuniti penduduk.

"Bila kita buat program ini, komuniti akan turun bersama dan buat sesi pemasangan bendera pada satu tarikh yang kita tetapkan.

"Ini adalah satu semangat yang kita cuba bangkitkan, di samping bila penghuni turun, mereka akan bawa anak-anak, jadi anak tahu bulan lapan adalah bulan kemerdekaan Malaysia," kata Pengerusi Kuarters Kakitangan Awam Jalan Shahbandar, Mohd Norhisam Mohd Ramli kepada RTM.

(Mohd Norhisam Mohd Ramli)


(Komuniti penduduk Kuarters Kakitangan Awam Jalan Shahbandar 
bergotong royong memasang Jalur Gemilang di sekitar kediaman mereka)

Bagi Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Flat Seri Perlis 2, Keramat, Salleh Hudin Ishak usaha tersebut menterjemahkan perpaduan dan simbolik mengenang kembali kebebasan yang dikecapi hasil pengorbanan perajurit terdahulu.

"Ini sebenarnya yang melambangkan jiwa yang merdeka, rakyat bebas, inilah erti kemerdekaan.

"Jadi sama-sama kita menghayatinya walaupun tidak besar mana perjuangan kita ini, namun inilah asas kepada perjuangan kemerdekaan tanah air kita," jelasnya.

(Salleh Hudin Ishak)


(Pemasangan Jalur Gemilang oleh komuniti penduduk  Flat Seri Perlis 2, Keramat)

Dalam pada itu, Mohd Norhisam memberitahu, selari usaha memperkukuh patriostisme terutama dalam kalangan generasi muda, pelbagai program dilaksana jawatankuasa penduduk agar semangat cintakan negara terus tersemat.

"Untuk tahun ini kita ada buat sesi kuiz bersempena kemerdekaan secara dalam talian menggunakan kahoot yang akan diadakan pada 27 Ogos nanti.

"Sama-sama kita meningkatkan semangat kecintaan dan memelihara bendera, sekiranya rosak, kita tukar baharu dan harapan saya agar seluruh rakyat dapat mengibarkan bendera Malaysia, bendera kebanggaan kita bersempena kemerdekaan tahun ke-65," menurut beliau.

Kemeriahan kibaran Jalur Gemilang jelas tanda penyatuan dan kesepakatan komuniti penduduk dalam menyemarkkan sambutan bulan kebangsaan.

Ia juga berupaya memupuk perpaduan sekali gus menggilap semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Laporan Adliyah Habibullah