Wednesday, 28 September 2022

Teknologi baharu, galak orang ramai bertani

  • Published in Laporan Khas

SERDANG, 12 Ogos - Pelbagai teknologi diperkenal bagi mengalakkan masyarakat menceburi bidang pertanian.

Sekali gus membantu menangani isu rantaian bekalan produk tani kerana ia mampu dihasilkan sendiri.

Menepis stigma pertanian hanya boleh dilakukan masyarakat luar bandar, aktiviti bercucuk tanam kini boleh dijalankan di kawasan perumahan bandar.

Malah, penggunaan teknologi kit hijau membolehkan individu yang tinggal di pangsapuri dan kondominium bercucuk tanam melalui sistem penyiraman pasu sendiri.

Teknologi yang dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) itu sesuai dipraktikkan bagi pertanian komuniti.

(Masnira Mohd Yusoff)

"Pertanian bandar kita sudah ada pelbagai projek kebuniti, 40 projek dengan pertanian bandar kita ketengahkan di seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia. Kita galakkan di kawasan bandar tanam sayur sendiri di kawasan perumahan. Teknologi ini boleh kurangkan perbelanjaan dapur," kata Timbalan Pengarah Program Agronomi dan Sistem Pengeluaran Pusat Hortikultur MARDI, Masnira Mohd Yusoff.

Menyedari peri penting produk pertanian, Keluarga Malaysia telah 'buka mata' untuk mempelajari ilmu pertanian secara lebih mendalam.

Tidak sekadar hobi ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka juga berjaya menjana pendapatan lebih menerusi hasil tuaian yang diperoleh.

"Saya sendiri baru sahaja ceburi bidang pertanian kerana pendamik. Apa yang ada sekarang memang bagus, cuma perlu cepatkan proses untuk kita tangani keselamatan makanan, dan kesedarannya," kata Amerul Yunus.

"Kalau kita ada kebun sendiri, sekurang-kurangnya kita tahu tanaman kita, tiada racun kimia, sayur-sayuran sihat," kata Noorhafizah Mohd Idrus.

Di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, pelbagai teknologi pertanian moden dipamer.

(Antara tanaman yang dipamer dan dijual di MAHA 2022)

Antaranya teknologi tanaman bertingkat dan sistem tanaman vertikal yang sesuai kepada petani komersial.

Inisiatif pertanian kominiti ini secara tidak langsung menggalakkan orang ramai mula bergiat aktif dalam aktiviti bercucuk tanam disamping mampu menjimatkan perbelanjaan harian, ia juga berupaya mendukung hasrat kepada keberhasilan dasar jaminan keselamatan makanan negara.

Laporan Syamimi Saripan