Wednesday, 28 September 2022

Rakyat pamer semangat patriotik, kibar Jalur Gemilang

  • Published in Laporan Khas

PULAU PINANG, 29 Julai- Sambutan Bulan Kebangsaan, antara bulan yang dinantikan semua rakyat Malaysia.

Kemeriahan setahun sekali itu menunjukkan betapa syukurnya rakyat akan erti sebuah kemerdekaan yang dicapai sejak 31 Ogos 1957.

Pelbagai cara dilakukan bagi mempamerkan semangat patriotik, namun adakah ia dizahirkan dengan sewajarnya?.

Dalam meraikan Bulan Kebangsaan, tidak ada yang terkecuali bukan hanya individu atau orang perseorangan tertentu tetapi kemeriahan ini turut disambut pelbagai peringkat umur dan generasi serta komuniti.

Ia turut menyaksikan permintaan Jalur Gemilang mula meningkat lebih tinggi pada bulan ini berbanding bulan-bulan lain kerana Jalur Gemilang akan mula dipasang sempena dengan Sambutan Bulan Kebangsaan.

Namun, menurut Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Dr Hanif Hassan penggunaan bendera Malaysia secara kreatif perlu dielakkan supaya tidak menjejaskan kehormatan dan merendahkan martabat Jalur Gemilang itu sendiri.

"Bendera itu dikait dengan perkataan kibaran jadi apabila kita dapat bendera kita perlu mengibarkan, memasang di rumah supaya dia akan bermain dengan angin untuk dikibarkan itulah konsep bendera.

"Sebab itu bendera tidak harus dipasang pada topi tidak harus dipasang pada baju, itu sebab saya menggalakkan orang ramai apabila terima bendera jalur gemilang ini pasang bendera supaya dia berkibar," katanya kepada RTM.

(Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Dr Hanif Hassan)

Sering kali juga tular kisah mengenai Jalur Gemilang yang diperlekeh dengan pelbagai alasan remeh.

Antaranya, seperti tersalah gantung bendera sama ada secara sengaja atau tidak.

Kesedaran orang awam mengenai penggunaan bendera yang betul adalah perlu bagi mengelakkan hal-hal yang tak diingini berlaku.

"Ada perkara yang kita tak boleh lakukan terhadap Jalur Gemilang contohnya membuat pakaian tuala dan juga samping, jadi harap orang ramai akan lebih peka terhadap penggunaan Jalur Gemilang.

"Ada lagi pihak yang menyalahgunakan Jalur Gemilang dan saya berharap Jalur Gemilang tidak digunakan secara salah, terbalik atau usang," kata pelajar Lee Kai Xiang.

"Sebagai rakyat kita mesti mencintai bendera Malaysia kerana ia adalah kemegahan bagi negara. Jika bukan kita rakyat mencintai negara siapa lagi, mengharapkan orang lain sudah pasti tidak.

"Rakyat Malaysia bermula daripada generasi yang muda, anak-anak sekolah harus mencintai bendera kita...Malaysia negara kita," menurut Pesara Guru, Wan Siti Fadzilah Sheikh Bakir.

Pastinya, Jalur Gemilang merupakan lambang yang menunjukkan kedaulatan, penghormatan dan martabat sesebuah negara.

Sehubungan itu, ayuh Keluarga Malaysia, teguh bersama kita kibarkan Jalur Gemilang.

Laporan Hanisma Ismail