Monday, 27 June 2022

Sisa nanas dimanfaat jadi media cendawan

  • Published in Laporan Khas

PONTIAN, 17 Jun - Lazimnya bongkah cendawan untuk tujuan komesial dihasilkan menggunakan habuk kayu getah.

Namun, inovasi penggunaan sisa nanas bagi penghasilan media cendawan oleh usahawan dari Benut, Pontian, Johor ini mengurangkan kebergantungan kepada media cendawan sedia ada.

Selain bersifat mesra alam, pendekatan itu turut memberi tambah nilai kepada sisa nanas itu sendiri.

Noorsaifulam Amri, 38 tahun, menghasilkan bongkah cendawan daripada sisa nanas sejak setahun yang lalu, dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Katanya, dia mengambil insiatif itu selepas mengalami kesukaran mendapatkan habuk kayu getah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana COVID-19.

"Di Johor banyak ladang nanas, kebanyakan usahawan nanas apabila menanam nanas baru, mereka kaan bakar tanaman lama untuk tanaman baru.

"Sebab tu kita ambil tanaman lama kemudian proses hancurkan menggantikan habuk kayu getah dan kosnya lebih rendah berbanding habuk kayu getah yang diambil dari luar Johor dan kos terlalu tinggi sehingga meningkat hampir lima puluh peratus," katanya kepada RTM.

(Usahawan cendawan, Noorsaifulam Amri sedang memasukkan benih cendawan ke dalam
bongkah cendawan daripada nanas, sebelum diperam selama 45 hari/FOTO Nur Aqeela Arbaen)

Selain pengurusan sisa nanas lebih mesra alam, inovasi cendawan daripada media nanas ini juga mempunyai nutrien yang tinggi tanpa menjejaskan rasa dan teksturnya.

"Khasiat cendawan ni lebih tinggi berbanding getah sebab kita sudah pun hantar ke makmal sebanyak 3 kali dan keputusan makmal mengatakan bahawa khasiat cendawan lebih tinggi berbanding kayu getah," tambahnya lagi.

Menurut Noorsaiful, sisa nanas diperoleh daripada usahawan-usahawan nanas sekitar Pontian, sebelum diproses.

Selepas diwapkan, bongkah cendawan akan disuntik dengan benih dan diperam selama 45 hari, sebelum pengeluaran hasil.

Bongkah yang sudah luput juga akan dijadikan baja organik.

Laporan khas disediakan Nur Aqeela Arbaen.