Monday, 27 June 2022

Jemaah haji Malaysia mula tiba di Makkah esok

  • Published in Laporan Khas

MAKKAH, 8 Jun- Jemaah haji Malaysia akan mula memasuki bumi Makkah secara berperingkat bermula esok.

Pengurus Maktab 47, Roslan Jonet berkata pihaknya akan menerima kira-kira 295 jemaah haji yang bertolak dari Madinah menerusi tujuh buah bas.

Kesemuanya merupakan rombongan haji yang pertama pada 4 Jun lalu.

Sementara itu, tiga bangunan penginapan disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menempatkan keseluruhan 14,306 jemaah haji Malaysia di Makkah.

Bangunan Abraj Al-Janadriyah akan menempatkan jemaah Muassasah Maktab 46 dan 47, manakala Land Premium untuk Maktab 48 dan 50.

Qasar Al-Janadriyah pula untuk jemaah Maktab 49.

Menurut Roslan, ketiga-tiga bangunan penginapan mempunyai unit khidmat pelanggan, klinik, wad rawatan awal, unit bimbingan ibadah dan kaunseling bagi kemudahan jemaah.

Bangunan Abraj Al-Janadriyah turut menempatkan Ibu Pejabat TH yang merupakan operasi pentadbiran keseluruhan di Tanah Suci.

Jemaah tidak perlu bimbang dari segi pengurusan kemasukan ke maktab dan jadual kerana ia diuruskan sepenuhnya oleh TH.

"Di dalam bilik mereka kita akan buat semakan dan akan sediakan atur cara mengandungi program-program yang kita sediakan kepada setiap jemaah haji di setiap satu penerbbangan.

"Setiap satu penerbangan, kita ada atur cara dia, program-program ibadah, program-program ziarah dan juga program pengurusan termasuk info berkenaan persekitaran," kata Roslan.

(Roslan Jonet)

"Kita telah buat persediaan berdasarkan kepada sistem pengurusan kualiti ISO 9001:2015, jadi kita akan tengok semua arahan kerja yang terlibat, untuk kita selaraskan apa yang kita perlukan untuk menyelaraskan operasi maktab. Sebagai contoh pembukaan maktab dan kita juga telah membuat kunjungan kepada ketua Muassasah," menurut Pengurus Maktab 46, Mohd Hanifah Kamarudin.

Turut disediakan, kafeteria berbayar untuk jemaah haji menikmati makanan ala Malaysia selain pusat jualan keperluan.

Keseluruhan 30 petugas maktab akan berkhidmat untuk kebajikan jemaah di ketiga-tiga bangunan.

"Kalau ikutkan jumlah jemaah lelaki dan perempuan itu yang membezakan, jadi setiap tingkat ini kita akan uruskan berkaitan makanan, kelesesaan dan keperluan jemaah yang perlu diadakan.

"Pemantauan setiap masa kalau ikutkan kecemasan, pemantauan kecemasan adalah setiap masa dan lain-lain itu kita akan memantau dari semasa ke semasa," jelas Petugas Maktab, Muhd Saifullah Musadad Ahmad Tamizi.

Kumpulan jemaah haji negara akan mula memasuki Makkah bermula esok secara berperingkat sehingga awal Julai.

Sehingga kini, 1,940 jemaah Muassasah dari tujuh penerbangan telah pun tiba di Tanah Suci.

Laporan Faisal Jamal