Monday, 27 June 2022

1,391 Jemaah Haji Malaysia sudah tiba di Madinah

  • Published in Laporan Khas

MADINAH, 7 Jun - Seramai 1,391 Jemaah Haji Malaysia telah tiba di Madinah untuk memulakan musim haji kali ini.

Ia daripada lima penerbangan berperingkat yang telah tiba sejak 4 Jun lalu.

Seperti biasa, sebaik tiba jemaah diberi taklimat pentadbiran dan pengurusan, kesihatan, bimbingan haji dan pengisian rohani.

Aktiviti jemaah turut diisi dengan melakukan ziarah dalam dan luar sekitar Madinah yang dirancang Tabung Haji, TH, bagi memperingati sejarah Nabi Muhammad SAW dan perkembangan Islam.

Bagi ziarah luar lokasi pertama ialah Masjid Quba iaitu masjid pertama Rasulullah SAW dirikan atas dasar taqwa.

"Barang siapa yang bersuci dan berwuduk di tempat tinggalnya, kemudian mendatangi Masjid Quba, lalu dirikan solat dua rakaat, nescaya pahalanya seperti mengerjakan umrah," kata Mutawif Ziarah Tabung Haji (TH), Wafa Abdul Jabbar.

Jemaah seterusnya dibawa melintasi Masjid Qiblatain, saksi berlakunya pertukaran kiblat umat Islam dari Masjid Al-Aqsa ke Kaabah dan ke Masjid Sab’ah atau Masjid Tujuh, iaitu berlakunya peperangan khandaq, dalam usaha Nabi Muhammad SAW mempertahankan Madinah daripada kaum Quraisy dan Yahudi.

Jemaah Haji Malaysia diselangi dengan lawatan ke ladang kurma, dimana Madinah terkenal dengan pelbagai jenis kurma terutama yang ditanam nabi sendiri iaitu kurma ajwa dengan pelbagai manfaat dan khasiat.

Mengahkiri ziarah luar Jemaah Malaysia ke Bukit Uhud dimana berlakunya peperangan uhud yang meninggalkan pengajaran besar apabila tentera Islam tewas dan 70 daripadanya syahid dalam peperangan tersebut.

"Sejarah ini lah yang mengajar kita, erti keagungan Allah SWT, kekuatan Rasulullah SAW semasa berdakwah. Syukur Alhamdulillah, dan bagi pengurusan, Alhamdulillah, bagi saya," kata Jemaah Haji Malaysia, Alias Majit.

"Masjid Quba’ ini adalah masjid pertama yang dibina, jadi rasa memang terujalah melaksanakan semua tu," Jemaah Haji Malaysia, Azri Abu.

"Amat-amat penting lah sebab salah satu kita mengenal dapat Rasulullah SAW mengembangkan syiar Islam," Jemaah Haji Malaysia, Ismail Sharaai.

"Alhamdulillah Tabung Haji memberi peluang kita buat ziarah luar dan ziarah di dalam kawasan Masjid Nabawi, sedikit sebanyak ia akan mendedahkan kepada kita sejarah penghijrahan Rasulullah SAW, "jemaah Haji Malaysia, Mohd Tawami Abdullah.


Laporan Faisal Jamal.