Thursday, 26 May 2022

Pasar pagi Orang Asli Bakar Batu kembali jadi tumpuan

  • Published in Laporan Khas

JOHOR BAHRU, 13 Mei - Jumlah pengunjung pasar pagi Orang Asli Bakar Batu di sini bertambah hingga 15% sejak pembukaan semula sempadan negara dan fasa peralihan ke endemik, 1 April lalu.

Pengunjung bukan sahaja terdiri daripada penduduk Johor malah turut menarik kehadiran warga Singapura.

Pembukaan semula pintu sempadan negara kira-kira sebulan lalu jelas membawa sinar harapan kepada peniaga terutama di pasar-pasar nelayan kerana hasil jualan mencatat peningkatan yang memberangsangkan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz berkata antara yang sering menjadi pilihan pelanggan ialah hasil laut segar yang diperoleh masyarakat Orang Asli Seletar.

"Hampir 20% pertambahan, sebelum ini ada hasil jualan mereka kadang tidak habis dan terpaksa bawa balik. Tetapi kini hasil jualan habis dan mereka sangat gembira kerana sudah ramai yang datang membeli," katanya kepada wartawan RTM, Nur Aqeela Arbaen.

(Azli Mohd Aziz)

Tedapat kira-kira 50 peniaga Orang Asli berniaga di pasar berkenaan.

Sementara itu, kemeriahan pasar yang didirikan atas tapak sementara itu turut diakui para peniaga.

"Pengunjung ramai dari Singapura, malah rakyat tempatan yang bekerja di sana dan balik banyak yang datang belanja di sini. Syukur Alhamdulillah, dari segi pendapatan oklah, hasil jualan memang berbeza," kata Wakil Persatuan Nelayan Kg Plentong Tengah, Bakar Batu, Mahadir Md Zain.

"Alhamdulillah, meriah sambutan berbanding sebelumnya, masa PKP teruk sikit sekarang sudah buka sana sini ramailah, pelanggan pun sudah banyak dan barang habis kadang bawa 100 kilogram pun boleh habis," menurut Peniaga, Nur Aisyah Abdullah.

"Orang Singapura sudah boleh masuk, sebelum ini susah sikitlah nak cari makan sebab PKP," jelas Peniaga, Aisah Abdullah.

Dalam pada itu, Persatuan Nelayan Johor Selatan berharap tapak kekal atau pasar khas untuk masyarakat Orang Asli berniaga hasil laut dapat didirikan.

Pada masa ini, perbincangan telah dibuat bersama Lembaga Kemajuan Ikan dan Jabatan kemajuan Orang Asli.

Laporan Nur Aqeela Arbaen