Thursday, 26 May 2022

Capal masih menjadi pilihan anak muda

  • Published in Laporan Khas

KEPALA BATAS, 11 Mei - Pilihan capal masih lagi mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat meskipun popularitinya sudah melangkaui zaman.

Kebiasaannya ia dipakai bersama baju Melayu, bertanjak dan bersampin.

Namun kini ramai yang turut menggayakannya dengan pakaian biasa.

Di Kepala Batas, Pulau Pinang usaha memartabatkan warisan capal ini tetap diteruskan oleh seorang pengusaha berusia yang 41 tahun.

Pengusaha capal, Badril Shahidan Hashim memberitahu peniagaannya kini menunjukkan peningkatan sebanyak 200 peratus menjelang perayaan Aidilfitri.

Ini membuktikan warisan ini masih lagi mendapat sambutan yang baik dalam kalangan orang ramai.

(FOTO HIASAN)

Berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang penghasilan capal, dia kini mengorak langkah lebih jauh dan mula melebarkan sayap sehingga ke luar negara.

"Untuk orang muda, pertengahan ni, bagi pendedahan, pengenalan kepada generasi muda tentang capal dan penggunaan dia. Itu penting. Orang muda ni mereka suka sesuatu yang selesa dan kedua mereka suka benda yang lain daripada yang lain. Dari segi kelainan itu saya perlu buat warna yang pelik-pelik lah," kata Badril di sini.

Badril turut berpendapat, penggunaan capal masih lagi relevan digayakan pada masa kini.

Buktinya jika dahulu pembeli capal kebanyakannya hanya dari golongan yang berusia namun kini, peminatnya juga ada dalam kalangan generasi muda.

"Sebab capalkan tradisi Melayu jadi semakin lama anak muda semakin meninggalkan capal ni. Semakin lama orang semakin tak kenal apa itu capal, apa tu tradisi Melayu, terlalu ikut luar. Jadi bila kita hargai tradisi Melayu, bila kita pakai capal ni, tak melupakan tradisi ini, kita masih kekalkan tradisi orang dulu," kata pembeli, Muhammad Zulfiqar As Sajjadi.

"Jadi kita perlu dedahkan benda ni sebenarnya pada orang muda, supaya kita kembali semula kepada adat dan adab kita orang Melayu. Sebab boleh dikatakan kebanyakan budak-budak tik tok ni tak tau capal tu apa, mereka tahu 'boot', 'nike' dan lain-lain sahaja,. Sedangkan capal identiti kita, bangsa kita di tanah berdaulat," kata pembeli Nur Adzhar Abdul Khalid.

Pelbagai usaha memartabatkan warisan ini perlu giat dilaksanakan bagi menjamin kelangsungannya pada masa hadapan selain memastikan warisan tradisional ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Laporan disediakan wartawan Zatul Iqma Mohd Noor